IPOH: Program ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ yang diadakan sempena Karnival Kesenian Islam
dan Malam Mahabbah MADANI yang berlangsung di Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata di sini
berjaya mendapat sambutan lebih 1,000 jemaah.
Kempen kali ini selain penduduk setempat ramai antara artis yang turut sertai seperti Qowiyaro, Ustaz
Don Daniyal, Nabil Ahmad dan Angah Raja Lawak dan disertai Setiausaha politik Menteri Kewangan, Kamil Munim.
Jemaah juga mendapat sambutan daripada anak muda, belia, wanita termasuk anak kecil yang hadir
seawal jam 5 pagi bagi membuat persediaan sebelum diteruskan dengan solat Subuh berjemaah.
Pejabat Parlimen Tambun dalam kenyataan memaklumkan, solat subuh tersebut diimamkan oleh
Qowiyaro.
Katanya, kempen ‘Subuh Macam Jumaat akan diteruskan selepas ini dan pihaknya mengadakan pelbagai aktiviti menarik bagi menarik kehadiran penduduk.
Aktiviti lain yang dianjurkan pagi ini ialah Tambun Fun Run sejauh 5 kilometer dan disertai sendiri Kamil
Munim.
Lebih menarik karnival ini juga diadakan sempena sambutan Maal Hijrah 1447H yang bertemakan “Hijrah Membina Ummah MADANI”.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia
(MCMC) juga menyediakan pelbagai pengisian menarik sepanjang hari ini termasuk kenduri rakyat, penyerahan sumbangan peruntukan khas kepada sekolah, demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan Al-Quran, serta persembahan nasyid daripada kumpulan popular tanah air seperti UNIC, Raihan dan Mirwana.
Turut diadakan Malam Mahabbah MADANI termasuk pertandingan nasyid antara sekolah, serta Forum
Hijrah bersama pasangan selebriti PU Riz dan Neelofa, dikendalikan oleh moderator Ustaz Hariri.
Selain itu, program turut merangkumi konvoi motosikal belia, Jualan Rahmah, pameran agensi,
pemeriksaan kesihatan, gunting rambut dan servis penukaran minyak hitam percuma, serta cabutan bertuah, termasuk pameran khas bas perkhidmatan awam.
Penganjuran program ini mengangkat aspirasi Malaysia MADANI, dengan semangat keterangkuman dan keharmonian yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama membina sebuah komuniti yang sejahtera dan bersatu.








