Lebih 100 hadiri kursus keterampilan sembelihan dan kebajikan haiwan

Berita Perak

IPOH: Lebih 100 orang menghadiri kursus keterampilan sembelihan dan kebajikan haiwan di Laman Zulfaqar, Changkat Larang, dekat sini, pada Khamis.

Kursus anjuran Koperasi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak Berhad dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Pengerusi Koperasi DPPM Perak Berhad, Abdullah Sani Saari berkata, kursus yang julung kali dianjurkan itu adalah bagi memberi pendedahan kepada jawatankuasa masjid khususnya bagaimana melaksanakan sembelihan dengan penuh ehsan terhadap ternakan.

“Diharapkan dengan adanya kursus ini, umat Islam dapat melaksanakan ibadah korban misalnya dengan lebih tertib dan menjaga kebajikan binatang sembelihan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Dua penceramah, Dr Nor Anis Adilah dari JPV Perak dan Ustaz Adnan dari JAIPk telah memberi penerangan panjang lebar mengenai tatacara sembelihan yang lebih ehsan.

Turut hadir Yang Dipertua DPPM Perak, Amirudin Tajudin.

Abdullah Sani berkata, disebabkan sambutan yang sangat menggalakkan, pihaknya merancang untuk mengadakan kursus yang sama di daerah-daerah lain.

Di samping itu, ujarnya, berdasarkan maklum balas yang diterima, Koperasi DPPM Perak berhasrat untuk menganjurkan kursus sembelihan dan kerja-kerja melapah, sebelum Hari Raya Aidiladha.