Lebih 10 keluarga di Bukit Gantang terjejas ribut

Berita Perak

BUKIT GANTANG: Lebih 10 buah rumah terjejas susulan kejadian ribut dan pokok tumbang di Taman Damai di sini, petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama, Mohd Nasrul Menhat berkata, kesemua mereka tidak dapat pulang ke rumah kerana kerja pembersihan belum selesai.

Sehubungan itu, katanya, sebuah Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Taman Kaya mulai jam 6.30 petang tadi.

“Kerjasama semua jabatan dan agensi amat dihargai bagi memastikan kebajikan mangsa terjamin,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang memaklumkan sehingga jam 8.10 malam ini, bilangan mangsa yang menyalurkan maklumat kepada Pusat Khidmat Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu ialah seramai 92 orang.

Menurut maklumat itu, antara kejadian yang berlaku ialah rumah ditimpa pokok, bumbung rumah diterbangkan angin, bumbung premis perniagaan runtuh, khemah bazar Ramadan patah, bumbung kaki lima Masjid Pengkalan Aur runtuh, pagar kubur Masjid Pengkalan Aur runtuh, bumbung Surau Taman Pengkalan Indah tercabut dan kereta ditimpa garaj.

“Antara lokasi terkesan ialah Taman Kaya, Kg Sentosa, Batu 2 ½, Kg Pak Darus, Taman Ria, Taman Damai, Taman Pengkalan Indah, Pengkalan Aur, PPR Simpang Perdana dan
Jalan Simpang,” menurut maklumat itu.

Menurut jurucakap Pusat Khidmat itu, kejadian ribut kali ini sangat dasyat dan menjejaskan banyak rumah serta beberapa premis lain.