Larangan vape: Perak muktamad selepas MMK, ambil kira pandangan ramai termasuk Jabatan Mufti

Berita Perak

LENGGONG: Sebarang keputusan berhubung isu larangan penjualan rokok elektronik atau vape di Perak akan dimuktamadkan selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) 28 Mei ini.

Selain itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian menyeluruh oleh Exco Kesihatan Negeri bersama pihak berkepentingan turut diambil kira.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri akan mengambil kira pandangan peniaga, ibu bapa, pendidik serta Jabatan Mufti dalam proses penilaian dasar.

“Jika didapati lebih baik, lebih memberi kebaikan untuk kita haramkan, maka kita akan pilih yang lebih baik.

“Jadi, saya tidak mahu membuat keputusan secara bersendirian kerana kita ada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan menentukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Lenggong Valley Motorclub di Dataran Tasik Raban, di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Perlis dan Terengganu telah melaksanakan larangan penjualan vape, manakala beberapa negeri lain sedang mempertimbangkan langkah sama.