Lapan lelaki didakwa sertai perhimpunan haram, sebabkan kecederaan

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Lapan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput, Perak pada Jumaat atas tuduhan menyertai perhimpunan haram hingga mengakibatkan kecederaan seorang individu lain, Isnin lalu.

Tiga daripada mereka iaitu K Lengeswaran, 22, S Thinakaren, 22, dan M Akkaskumar, 24, mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda.

Lima lagi mengaku tidak bersalah iaitu S Guna Segaran, 21, K Logen, 21, A Ignisrao, M Nagaraj, 22, dan R Naresh, 23, selepas pertuduhan m dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Mengikut kertas pertuduhan, kelapan-lapan mereka dituduh secara bersama menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 28 tahun di mana semasa perhimpunan itu semua ahli atau lebih daripada seorang ahli memukul dan mendatangkan kecederaan pada tubuh mangsa.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tepi tokong kecil bersebelahan jalan utama Taman Tun Sambanthan, Sungai Siput, antara jam 9.30 malam hingga 11.15 malam, 11 Mac lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun yang sama iaitu boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan lima tertuduh yang mengaku tidak bersalah, masing-masing dijamin RM2,500 dengan seorang penjamin .

Mahkamah turut menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes, termasuk untuk lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.