IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) disaran melaksanakan program pemutihan bagi mengatasi masalah lambakan premis perniagaan asing sekitar kawasan bandaraya.
Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, beliau akan membawa isu itu dalam mesyuarat penuh MBI.
Menurutnya, beliau telah menerima aduan daripada beberapa pihak, seperti Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Pasar Malam Bahagian Kinta (Payung) mengenai masalah itu.
“Saya akan bawa ke MBI perkara ini yang mungkin kita pandang kecil tetapi akhirnya boleh menjadi isu yang besar sehingga boleh menjejaskan pendapatan peniaga kecil tempatan, khususnya Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Payung di sini, hari ini.
Menurutnya, selain daripada kedai makan tomyam, beliau turut menerima aduan mengenai kewujudan kedai-kedai runcit yang mula dibuka di kawasan tumpuan pekerja asing.
“Lazimnya peniaga-peniagaa asing ini, seperti peniaga tomyam, akan menggunakan lesen penduduk tempatan bagi memulakan perniagaan mereka dan ini memberi persaingan tidak sihat kepada peniaga tempatan,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi Payung, Jaafar Uthman berkata, lambakan premis perniagaan pendatang asing mesti ditangani secara serius bagi mengelakkan masalah yang lebih serius.
“Kalau kita biarkan, dikhuatiri mereka akan buka lebih banyak kedai sedangkan keuntungan yang diperolehi dihantar ke negara masing-masing,” ujarnya.
Menurutnya, tindakan mereka itu juga merugikan negara dari segi tukaran wang asing.


