Lagi khatib masjid di Perak tidak baca khutbah Jumaat yang disediakan

Berita Perak

IPOH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan khatib sebuah masjid di Teluk Intan tidak membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan.

Hasnul Zulkarnain beliau sendiri telah menghubungi khatib berkenaan yang mengaku membaca teks yang disediakan pada tahun 2023

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Exco Perak meminta pihak polis dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Saya sangat kecewa kerana acap kali kita diberitakan titah Tuanku Sultan bahawa masjid perlu dipelihara keharmoniannya dan masjid ini adalah tempat menimba ilmu, tempat untuk membentuk siasat peribadi yang baik.

“Tapi malangnya ada segelintir pihak yang tidak mengikuti, mengingkari kerana perkara ini sebenarnya kalau tidak didedahkan, mereka akan mengulanginya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Beliau berpendapat, masyarakat sebenarnya patut diberikan maklumat yang benar seperti mana yang pihak JAIPl sediakan kerana khutbah adalah satu unsur menasihati seminggu sekali kepada umat Islam.

“Jadi yang ini satu perkara yang sepatutnya tidak berlaku serta sangat menyedihkan dan saya difahamkan ada beberapa lagi masjid yang berlaku kes begini,” ujarnya.

Pada Sabtu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad
meminta JAIPk menyiasat tindakan seorang khatib di Parit Buntar yang didakwa membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Beliau berkata hal itu kerana ia menimbulkan keraguan dan ada sesuatu yang tidak kena mengenai tindakan khatib terbabit apabila tidak membacakan teks khutbah yang disediakan oleh JAIPk.

Sebelum ini, JAIPk menerusi hantaran di Facebook memaklumkan teks khutbah bertajuk ‘Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki’ disediakan berdasarkan peristiwa fitnah terhadap isteri Nabi Muhammad SAW iaitu Aisyah.

JAIPk memaklumkan teks khutbah berkenaan yang dibacakan semalam tiada kena-mengena dengan mana-mana individu dan khutbah itu diolah berdasarkan peristiwa ‘Al-Ifki’ yang berlaku dalam bulan Syaaban.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Perak Muhammad Rif’aat Razman mempersoalkan pemilihan tajuk khutbah itu yang menurutnya seakan-akan menyinggung Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria yang juga bapanya.