Lagi desakan Muhyiddin letak jawatan, jangan jadi Najib versi Bersatu

Berita Perak

IPOH: Lagi desakan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ekoran pelbagai polimik yang berlaku, sehingga kemuncaknya parti itu ditolak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Kali ini, 14 Jawatankuasa Bahagian Bersatu Negeri Perak bersama-sama tiga Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) dan dua Ahli Parlimen, pula menggesa agar Muhyiddin melepaskan parti bagi membolehkannya diwarisi generasi seterusnya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang menjadi jurucakap kumpulan itu berkata, mereka tidak mahu Muhyiddin menjadi Datuk Seri Najib Razak versi Bersatu.

“Tatkala seluruh negara tahu bahawa Najib Razak menjadi liabiliti, dia memilih untuk berdegil dan meletakkan kepercayaan kepada orang yang salah.

“Akhirnya akibat masalah peribadi yang dibawa, parti kalah dan ditolak rakyat pada siri pilihanraya yang lepas.

“Kami yakin bahawa Tan Sri Presiden sayangkan parti Bersatu ini.

“Jika sayang, maka lepaskanlah parti ini untuk diwarisi oleh generasi seterusnya, agar kami semua dapat
bersatu padu memperjuangkan kejayaan bagi Bersatu dan meneruskan kelestarian dan perjuangan Tan Sri sebagai Presiden Pengasas,” katanya.

Bercakap dalam sidang media khas di Ipoh pada Rabu, Zainol Fadzi berkata, mereka berharap Muhyiddin berbesar hati dan mengambil tanggungjawab atas segala yang berlaku di samping bermuhasabah dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Menurutnya, walaupun baru berusia sembilan tahun, Bersatu perlu diperbaharui dan diremajakan semula dengan menjalani proses RE-JUVENASI dalam memberikan nafas baru agar terus utuh dan memastikan Perikatan Nasional diterima semua rakyat Malaysia.

Jika tidak, katanya, mereka khuatir Bersatu akan ditolak di semua kawasan yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke 16 akan datang.

Tambahnya, dalam usia 78 tahun dan sedang menghadapi tuduhan mahkamah yang masih belum selesai, mereka berharap agar Muhyiddin mendengar rintihan dan keluhan mereka serta meletakkan wadah perjuangan parti melebihi agenda lain.

Menurutnya, isu-isu peribadi Presiden Bersatu itu akan menjadi liabiliti yang akan mendesak rakyat untuk menolak Bersatu dan Perikatan Nasional secara keseluruhannya.

Baru-baru ini, 20 daripada 24 Ketua Bahagian Bersatu Sabah menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan susulan keputusan buruk pada PRN yang menyaksikan mereka tewas di semua 36 kerusi yang ditandingi.