Kuil tumpuan pelancong dicadang bina mini muzium – Kula

Berita Perak

IPOH: Kuil-kuil yang menjadi tumpuan ribuan pelancong khususnya semasa sambutan Thaipusam dicadang membina sebuah mini muzium sebagai langkah untuk memelihara warisan budaya masyarakat India.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, selain tarikan pelancong, muzium mini boleh membantu institusi itu menjana pendapatan tanpa terlalu bergantung kepada sumbangan awam atau bantuan kerajaan.

Menurutnya, Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh di Ipoh misalnya menerima kunjungan ribuan pengunjung pelbagai kaum setiap tahun termasuk pelancong antarabangsa yang ingin mengenali budaya dan sejarah setempat.

“Jawatankuasa kuil akan berjumpa dengan saya untuk membincang macam mana kita boleh mengimplementasikan cadangan ini.

“Walaupun ini adalah satu cadangan yang bukanlah luar biasa, tetapi yang boleh dibuat oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa hadir pada program pemberian 500 pek makanan percuma kepada pengunjung sempena sambutan Thaipusam di Little India, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, pihak pengurusan kuil boleh mengenakan bayaran masuk RM1 atau RM2 dan ini dapat memberi hasil sekaligus membolehkan mereka berdikari.

Menurutnya, antara warisan dan sejarah boleh dipaparkan di mini muzium tersebut adalah kisah pembentukan Kampung Kacang Puteh susulan tragedi runtuhan batu di Gunung Cheroh pada tahun 1973 yang meragut banyak nyawa sehingga memaksa peniaga kacang putih berpindah ke Buntong untuk membina semula kehidupan mereka.

Katanya, Kampung Kacang Puteh telah menjadi pusat pembuatan snek tradisional dan warisan budaya yang hidup, bukti ketabahan serta semangat komuniti yang wajar diketengahkan kepada generasi muda dan pelancong.