IPOH: Hospital Pakar KPJ Ipoh telah melaksanakan latihan kebakaran yang dikenali sebagai ‘kod merah’, di sini baru-baru ini.
Menurut Pengurus Operasi Hospital Pakar KPJ Ipoh,
Kamil Zaki Kamaludin, latihan itu adalah untuk menilai keberkesanan prosedur tindak balas kecemasan.
Di samping menilai koordinasi antara Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) hospital dan pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
“Latihan ini penting untuk memastikan nilai teras KPJ, iaitu keselamatan pekerja dan pesakit dijaga dengan baik.
“Pengalaman melalui latihan kebakaran penting bagi semua orang mengetahui dan memahami pelan pengungsian (berpindah ke lokasi lain yang selamat).
“Jadi, dalam keadaan kecemasan sebenar, mereka tahu tangga mana yang perlu diambil, di mana lokasi pintu keluar kebakaran, tempat perhimpunan dan paling penting tidak perlu panik,” katanya.
Kamil Zaki menambah, ketika latihan dilaksanakan, KPJ Ipoh menggambarkan situasi kecemasan sebenar.
Ia termasuk membuat simulasi letupan buatan, kebakaran dan asap akibat kerosakan litar pendek di bilik pelayan IT yang terletak di tingkat tertentu dalam hospital.
“Semasa latihan, ERT KPJ Ipoh melaksanakan pelan pengungsian yang terkoordinasi dengan baik bersama pasukan bomba.
“Menyelamatkan tiga mangsa iaitu seorang staf hospital dan dua anggota keluarga pesakit yang berada di tingkat kebakaran yang disimulasikan dan terjejas oleh letupan,” katanya.
Selain itu, sesi tinjauan dilakukan bagi menilai keberkesanan strategi pengungsian, mengesan halangan yang mungkin dan mengenal pasti bidang yang perlu diperbaiki.
“Dengan menjalankan latihan kebakaran yang realistik, KPJ Ipoh mahu membina rasa kesiapsiagaan dalam kalangan staf dan bertindak dengan sewajarnya semasa kecemasan,” katanya.
Beliau berkata, latihan itu menunjukkan komitmen ERT hospital dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan staf hospital, tetamu, serta pesakit.