KPDN sita telefon bimbit tiruan di Ipoh

Berita Perak

IPOH: Sebuah premis perniagaan di Ipoh diserbu pada Khamis setelah disyaki menjual telefon bimbit tiruan melibatkan jenama terkenal.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan turut menemui sebanyak 529 unit telefon bimbit yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama, dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.

“Satu operasi membanteras penjualan dan pengedaran barang tiruan melibatkan alat telefon bimbit berjenama terkenal dilakukan.

“Serbuan dilakukan hasil aduan dan maklumat oleh wakil pemilik cap dagang yang mengadu terdapat penjualan telefon bimbit berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis berkenaan.

“Wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

“Kerana mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 iaitu kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya pada Jumaat.

Tambahnya, kesemua barangan dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM150,788.

Selain menjaga hak pengguna, KPDN turut memandang serius dalam melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama bagi membanteras penjualan barang tiruan.