TANJUNG MALIM: Sebanyak 19,000 liter cecair disyaki minyak diesel disita setelah didapati menyimpan barang kawalan tanpa permit di Ladang Changkat Asa, dekat sini semalam.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, sepasukan pegawai dan penguat kuasa KPDN Cawangan Tapah melakukan serbuan tersebut pada jam 1.30 tengah hari pada Selasa.
“Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah tapak pembinaan tersebut, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 19,000 liter cecair disyaki minyak diesel di dalam dua buah skid tank.
“Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang mengaku sebagai pengurus tapak pembinaan didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, katanya pihaknya telah menyita beberapa peralatan yang berkaitan termasuk minyak diesel dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM60,550.
Beliau menambah, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan.




