IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerima sebanyak lapan aduan berhubung manipulasi pelaksanaan sistem subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95), setakat Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, lima daripada aduan itu telah selesai manakala baki tiga lagi masih dalam siasatan.
Menurutnya, enam aduan melibatkan yang liter pam tidak sama dengan meter manakala maknanya dua lagi mengenai sistem.
“Jadi kita telah laksanakan pemeriksaan dan tindakan termasuk kita bersama sekali Metrology Corporation, syarikat yang diberikan amanah untuk tentusahkan isipadu ketepatan minyak di stesen minyak.
“Kita telah pergi bersama buat pemeriksaan dan dapati kita kesan dia punya liter itu tepat, masih di bawah had selisih yang dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi walkabout skim harga maksima musim perayaan Deepavali 2025 di pekarangan Bangunan Persekutuan Ipoh, pada Jumaat.
Mengenai Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), Kamalludin berkata, setakat ini sebanyak 154 syarikat di Perak telah membuat permohonan dan berharap lebih banyak syarikat yang layak dapat membuat permohonan.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya telah membuat lebih 570 pemeriksaan harian ke atas kesemua 430 stesen minyak di seluruh negeri bagi memastikan mereka mematuhi segala peraturan.
Dalam pada itu, Kamalludin memberi jaminan bekalan keperluan makanan untuk musim perayaan Deepavali adalah mencukupi.
Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada peniaga yang menyorok barangan bagi tujuan untuk meningkatkan harga, lebih-lebih lagi menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL).









