IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan menyenarai hitamkan peniaga runcit yang mengambil kesempatan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya menempatkan pegawai di setiap lokasi program itu untuk memantau individu atau peniaga yang didapati membuat belian pada kuantiti yang banyak.
Menurutnya, sekiranya ada, individu atau peniaga berkenaan akan diberi amaran terlebih dahulu, tetapi jika terus berlaku, mereka akan disenarai hitamkan.
“Tujuan PJRM ini untuk membantu golongan berpendapatan rendah, bukan untuk peniaga tetapi kita akan terus pantau.
“Kita pun ingatkan pegawai Rela dan juga peniaga rakan startegik kita sendiri untuk mengenal pasti mereka yang membeli berulang-ulang,” katanya kepada pemberita ketika sesi Walkabout PJRM KPDN Perak di Bangunan Persekutuan Greentown di sini, hari ini.
Kamalludin mengakui, ketika awal program jualan Rahmah diperkenalkan, terdapat peniaga yang mengambil kesempatan membeli barangan keperluan pada harga jauh lebih murah, sehingga hampir RM10, dan menjualnya semula pada harga biasa.
“Perbuatan seumpama ini memang berlaku di mana-mana dan kita tidak benarkan lagi,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPDN Perak akan membantu sepenuhnya masyarakat dalam penggunaan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).
Menurutnya, pelaksanaan rintis aplikasi mobil eCOSS berkenaan akan diperluaskan menerusi program PJRM seluruh negeri.
“Apa-apa sistem yang baharu diperkenalkan pasti ada kesukarannya namun, kita telah tempatkan pegawai kita di kaunter di jualan PJRM untuk bantu proses pendaftaran.
“Daftar kali pertama kemudian ia akan memudahkan. Di Perak ni kita mula hari ini jadi kita akan dapatlah maklumat mungkin daripada orang ramai untuk daftar sistem ini dan ia mungkin ambil masa sikit,” katanya.
Jelasnya, penggunaan mobil eCOsS itu akan melengkapkan pemantauan rantaian pengedaran minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram dari awal rantaian hingga ke pengguna.
Beliau berkata, sebanyak 983 program PJRM telah dilaksanakan di seluruh negeri bermula Januari sehingga kini berbanding 945 program sama tahun lalu.
“Dari segi nilai jualan, PJRM pada tahun ini mencatatkan sebanyak RM53,488,905.38 berbanding dengan tahun 2024 dari Januari hingga Disember telah merekodkan sebanyak RM64,089,786.04.
“Bagi statistik penerima manfaat pula, pada tahun 2025 seramai 1,227,731 orang telah menerima manfaat daripada program PJRM ini di seluruh negeri manakala dalam tempoh Januari hingga Disember 2024 seramai 1,657,255 orang telah menerima manfaat daripada program ini.
“Bilangan penerima manfaat pada tahun ini dijangka akan bertambah memandangkan sambutan program PJRM ini seringkali mendapat sambutan dan permintaan yang tinggi,” tambahnya.


