KPDN Perak rampas barangan bernilai RM3.4 juta tahun ini

Berita Perak

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak telah menjalankan pemeriksaan ke atas 22,743 premis di seluruh Perak sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan itu telah menghasilkan 277 kes dengan nilai rampasan lebih RM3.4 juta.

Di samping itu, jumlah kompaun sebanyak RM 97,800 juta telah dikenakan kerana pelbagai kesalahan.

“Begitu juga dengan nilai denda sebanyak RM 258,000 yang telah dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan.

“Ini menunjukkan pendekatan yang tegas dan adil dalam memastikan kepatuhan terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN,” katanya kepada pemberita selepas program Jalinan Muhibah bersama Komuniti Pengguna & Rakan Strategik KPDN Perak di Bangunan Persekutuan Greentown di sini, hari ini.

Kamalludin berkata, selain pencapaian itu, KPDN Perak juga telah melaksanakan beberapa program di bawah inisiatif Payung RAHMAH seperti Program Jualan RAHMAH MADANI (PJR) dan Bazar Rahmah.

Menurutnya, program-program itu memberikan manfaat kepada masyarakat dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga mampu dimilik.

Katanya, sebanyak 238 program Jualan Rahmah telah dijalankan dari Januari hingga April tahun ini dengan mencatatkan 290,072 pengunjung.

Dalam pada itu, KPDN Perak turut menggunakan media sosial untuk memberi maklumat kepada orang ramai dan telah berjaya menarik lebih 523,000 pengikut di platform TikTok dan 71,000 di Facebook.

Beliau merakamkan penghargaan yang kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama untuk menjayakan program KPDN Perak