IPOH. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mempertingkatkan kawalan 24 jam di sempadan Malaysia – Thailand untuk membenteras penyelewengan diesel dan petrol.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, ia mula dilaksanakan ekoran kenaikan harga minyak global, kesan daripada konflik Asia Barat.
Menurutnya, pihaknya terus memantau operasi stesen-stesen minyak, khususnya di kawasan sempadan di Hulu Perak, bagi mengelakkan ketirisan.


“Di Perak ni kita ada sempadan di Pengkalan Hulu, Betong. Kita telah pertingkatkan kawalan kita punya pemeriksaan di sana 24 jam, kita mengikut waktu dan tempoh di sempadan tu.
“Kita juga tingkatkan lagi pemeriksaan dan pemantauan di stesen-stesen minyak di seluruh negeri Perak.
“Pasukan kita, pasukan beruniform dan preman mereka biasanya akan duduk pantau di stesen minyak.
“Jika ada berlaku cubaan untuk melakukan ketirisan ni, kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau ditemui sebelum melakukan tinjauan skim harga maksimum musim perayaan Aidilfitri 2026 dan Jualan Rahman Aidilfitri di Bangunan Persekutuan, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan harga runcit produk petroleum mulai 12 hingga 18 Mac meningkat antara 60 sen dan 80 sen di Semenanjung, manakaka harga runcit petrol RON95 bersubsidi BUDI95 kekal pada paras RM1.99 seliter.
Kamalludin berkata, setakat ini barangan keperluan utama, khususnya untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri di Perak adalah mencukupi dan belum ada sebarang aduan kenaikan harga melampau.
Dalam masa sama, ujarnya, KPDN Perak turut menganjurkan 166 program Jualan Rahmah Aidilfitri, mulai 16 Mac hingga 19 April yang menawarkan harga jauh lebih murah berbanding harga biasa.






