Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad tarik pelaburan RM400 juta

Berita Perak

IPOH: Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad melebarkan aktiviti dengan menceburi bidang baharu seperti ladang solar dan perlombongan bijih besi yang melibatkan nilai pelaburan keseluruhan kira-kira RM400 juta.

Ia sekaligus melonjakkan kedudukannya kepada 14 koperasi terbaik di Perak dan 147 koperasi terbaik di Malaysia di samping memberi pulangan dividen lebih 10 peratus sejak lapan tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Pengarah Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad, Datuk Mohammed Akhiar Ahmad Wazir Affandi berkata, mereka mula menceburi bidang solar sejak 2017 dan perlombongan bijih besi pada 2021.

“Kita telah membina ladang solar di atas 233 ekar tanah yang mana kuasa daripada ladang solar ini dibekalkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Suruhanjaya Tenaga.

“Ini adalah satu bidang baru yang boleh menjana pendapatan untuk koperasi yang terlibat dalam aktiviti ini.

“Peluang seumpama ini bukan selalu ada dan perlu kita galakkan pihak-pihak lain yang mana potensi untuk mencebur bidang ini untuk jadikan salah satu aktiviti,” katanya.

Ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Perak di Ipoh pada Selasa, Mohammed Akhiar berkata, projek solar itu melibatkan pelaburan RM380 juta, mulai tahun 2017 sehingga beroperasi penghujung tahun 2018.

Jelasnya tempoh konsesi pembekalan tenaga elektrik daripada ladang solar itu kepada Tenaga Nasional Berhad adalah selama 21 tahun.

Menurutnya, sebagai sebuah koperasi yang bertanggungjawab, Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad turut melunaskan tanggungjawab dengan membuat pelbagai bayaran kepada kerajaan.

Antaranya, bayaran royalti perlombongan bijih besi RM4.1 juta sejak 2021 dan cukai tanah hampir RM3 juta sejak 2019 selain bayaran zakat perniagaan lebih RM100,000 setiap tahun sejak tahun 2021.

Mohammed Akhiar berkata, walaupun sudah menceburi bidang baharu, koperasi tetap meneruskan operasi tradisi seperti ladang kelapa sawit dan perniagaan rumcit.

Pada majlis itu, Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad turut menyampaikan cek kumpulan wang rizab statutori bernilai lebih RM620,000 kepada wakil Pengurus Co-opbank Pertama Cawangan Ipoh.