Koperasi bekas tentera wajar ditubuh, pastikan kebajikan wira negara dibela

Berita Perak

IPOH: Koperasi bagi bekas anggota tentera wajar ditubuhkan di peringkat negeri bagi membantu wira tersebut yang banyak berjasa kepada negara.

Menurut bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Koperal Udara Datuk Seri G.Irudianathan, kebajikan bekas anggota tentera bawahan juga perlu dilihat secara tuntas, dengan memberi peluang sama rata.

“Kita memang ada koperasi tentera, tetapi apakah kemudahan atau bantuan yang diberikan kepada koperasi ini kepada bekas tentera?

“Semua bekas tentera memerlukan bantuan, perlu difahami jawatan yang dipegang di peringkat kebangsaan koperasi tentera ini merupakan Panglima Bersara.

“Maka berilah peluang kepada anggota bawahan atau lain-lain pangkat dalam tentera.

“Kalau boleh beri peluang kepada koperasi yang akan ditubuhkan oleh bekas anggota tentera di peringkat negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ipoh RMAF Indian Veteran Deepavali Nite 2024 di Ipoh Country Club, di sini.

Hadir sama, bekas anggota TUDM, yang juga pengerusi majlis, L.Manimaran.

Majlis yang berlangsung bagi tahun ketiga itu dihadiri hampir 100 bekas anggota tentera.

Irudianathan menambah, rata-rata bekas anggota tentera yang hadir di majlis tersebut sudah berkhidmat kepada negara lebih 30 hingga 40 tahun.

“Ini merupakan permohonan yang kita akan ajukan, sekiranya bekas tentera ada koperasi, maka ia akan banyak membantu bukan sahaja kepada golongan tersebut tetapi juga anak-anak mereka.

“Untuk tujuan pendidikan seperti menyambung pelajaran di universiti.

“Sekali gus jika ada koperasi itu, kerajaan juga sudah tidak perlu mengeluarkan bantuan am kepada mereka, kebajikan mereka akan terjaga,” katanya lagi.

Sementara itu, Manimaran berkata, pihaknya akan meluaskan lagi penganjuran program yang menghimpunkan bekas tentera itu di tahun mendatang.

Khususnya bagi meraikan mereka ketika waktu perayaan, di samping mendapat maklum balas serta cadangan yang bersesuaian untuk diketengahkan kepada pihak berwajib.