Kompleks Sejarah Pasir Salak perlu RM10 juta kerja baik pulih

Berita Perak

PASIR SALAK: Usaha untuk menaik taraf Kompleks Sejarah Pasir Salak yang semakin uzur terus diperjuangkan kerana ia adalah antara lambang kebangkitan orang Melayu menentang penjajahan British.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah, Khairul Azwan Harun berkata, permohonan peruntukan lebih RM10 juta telah diajukan kepada kepada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk kerja-kerja baik pulih di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Bagaimanapun, katanya, nilai itu dianggap minimum kerana banyak komponen utama kompleks tersebut tidak lagi sesuai digunakan dan perlu diselenggara semula dengan segera.

“Sebelum PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lagi saya perjuangkan usaha menaik taraf kompleks ini, malah ia pernah saya masukkan dalam manifesto pilihan raya.

“Setakat ini sekitar RM1 juta sahaja telah diluluskan pada tahun 2023 untuk membaiki Rumah Kutai dan sedikit baik pulih di Terowong Sejarah.

“Namun jumlah itu tidak mencukupi. Galeri Menteri Besar sudah rosak teruk, rumah-rumah tradisi Perak juga tidak lagi selamat dikunjungi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Karnival Merdeka Sejahtera Madani di Dataran UMNO Kampung Gajah di sini pada Sabtu.

Khairul Azwan berkata, permohonan berkenaan kini di peringkat perancangan kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Perak dengan turut melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau yakin pelaksanaan projek baik pulih tersebut akan dapat mengembalikan semula fungsi asalnya sebagai lokasi tumpuan pelancong, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi setempat.

“Saya sebutkan perkara ini kerana kompleks ini adalah kompenan penting dalam sejarah kebangkitan bangsa melawan penjajah.

“Jika komponen penting seperti ini pun tidak mampu kita pelihara, bagaimana generasi akan datang dapat memahami erti sejarah perjuangan bangsa?” ujarnya.

Kompleks Sejarah Pasir Salak yang dibuka pada 1990 pernah menjadi tumpuan ramai pelancong di awal pembukaannya, namun kini semakin hilang seri apabila beberapa bangunan sudah reput dan tidak boleh lagi dikunjungi.

Keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan terhadap kehadiran jumlah pengunjung.

Antara tarikan utama kompleks yang terletak di tebing Sungai Perak ini ialah Terowong Sejarah yang memaparkan 42 diorama perjalanan sejarah negara, Rumah Kutai tradisional Perak, Galeri Keris serta Galeri Sejarah Menteri Besar Perak.

Kompleks ini turut dilengkapi dengan menara pandang, jam suria, dewan serbaguna dan pentas terbuka yang melengkapkan fasiliti pelancongan warisan.

Selain itu, kawasan kompleks juga menempatkan Rumah Datuk Maharaja Lela, kubu beliau, serta beberapa monumen penting seperti Tugu Peringatan Birch, Tugu Pahlawan Perak, Tugu Lela Rentaka dan pentas belotah.

Tapak bersejarah termasuk lokasi pembunuhan Residen J.W.W. Birch serta kubur Sepuntum menjadikan kompleks ini antara pusat rujukan sejarah paling bernilai di negeri Perak.