Kes Denggi di Perak tahun ini menakutkan – Exco Kesihatan

Berita Perak

IPOH: Peningkatan kes Denggi di seluruh negeri Perak kini menakutkan, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional Negeri, A. Sivanesan.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes Denggi pada tahun 2024 adalah 5,058 kes berbanding 1,975 kes pada tempoh sama tahun 2023, mencatatkan peningkatan sebanyak 156.1% peratus.

Malah, katanya, walaupun baru pertengahan tahun, bilangan kematian tahun ini dicatatkan sebanyak sembilan (9), berbanding hanya satu (1) sepanjang tahun lalu.

“Tahun lepas seluruh Perak kes mati hanya satu iaitu adalah di Kuala Kangsar.

“Daerah-daerah lain tidak ada kes mati tapi sekarang, sudah ada sembilan kes mati tahun ini, setakat bulan tujuh ini.

“Jadi inilah keadaan Denggi ya, jadi merbahaya. Saya minta orang awam pastikan kebersihan sekeliling dijaga,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai memberi kerjasama sepenuhnya apabila kerja-kerja semburan kabus (fogging) dilakukan.

Menurut Sivanesan, pada Minggu Epid 30/2024 iaitu antara 21 hingga 27 Julai lalu, sebanyak 137 kes Denggi didaftarkan berbanding 69 kes pada minggu epid yang sama tahun 2023.

Beliau juga berharap orang ramai menyertai program gotong royong di kawasan mereka yang dianjurkan pelbagai pihak seperti pihak berkuasa tempatan dan Kawasan Rukun Tetangga dan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku atau COMBI.

Dalam pada itu beliau meminta sekolah-sekolah di negeri ini supaya menangguhkan semua aktiviti luar ekoran cuaca panas melampau yang berlaku.

Menurutnya, Perak ketika ini mencatatkan suhu antara 35 – 37 darjah Celcius.

Beliau memberitahu, setakat hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah menerima 12 laporan kes
berkaitan cuaca panas, iaitu empat kes stroke haba dengan satu kematian dan lapan kes kelesuan haba.

“Saya meminta semua pengetua sekolah supaya menangguhkan aktiviti-aktiviti luar sekurang-kurangnya sehingga September dan jika berlaku sesuatu kepada murid-murid, guru besar atau pengetua perlu bertanggungjawab.

“Jabatan Kesihatan telah memberi nasihat supaya tangguh segala aktiviti luar,” ujarnya.