IPOH: Kes batuk kokol atau pertussis di negeri Perak menurun sebanyak 96.6 peratus sehingga 19 Julai tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Intergrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan berkata, setakat 19 Julai lalu, hanya satu kes dilaporkan, berbanding 29 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, kes terbaharu itu melibatkan bayi berusia dua bulan yang baru menerima satu dos vaksin untuk Difteria, Pertusis, Tetanus (DTP) sebelum bergejala.
“Kes telah diberi rawatan antibiotik dan telah sembuh sepenuhnya. Ini adalah kerana bayi itu dapat sekurang-kurangnya satu vaksinasi, kalau langsung tak terima ini, bahaya.
“Jadi saya mohonlah kepada ibu-ibu yang baru lahirkan anak gunakanlah atau terima nasihat daripada doktor-doktor untuk dapat vaksin seperti yang dijadualkan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Menurut Sivanesan batuk kokol boleh membawa maut sekiranya tidak diberi rawatan yang sewajarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak tahun 2024, tiada
kes penyakit Demam Babi Afrika (ASF) dikesan di negeri Perak.
Menurutnya, sejak wabak pertama berlaku pada Mac 2022, kerajaan negeri telah memusnahkan hampir 20,000 ekor babi dan menutup 18 buah ladang ternakan itu.
“Bagi tahun 2024, jumlah daging khinzir yang dikeluarkan ada 17, 424,000 kilogram daging di negeri Perak saja dan ini adalah jumlah yang mencukupi untuk menampung kita,” ujarnya.