LUMUT: Kerajaan diminta menyatakan pendirian tegas bagi menolak sebarang bentuk tekanan asing dalam urusan perolehan aset negara.
Ia susulan laporan yang mengaitkan pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia dengan cadangan penurunan tarif eksport oleh Amerika Syarikat (AS).
Ketua Armada Bersatu Bahagian Lumut, Syed Alif Rikiman Syed Alwi berkata, jika benar wujud syarat sedemikian, ia adalah bentuk rundingan yang tidak wajar dan boleh menjejaskan kedaulatan dasar perdagangan negara.
“Malaysia tidak boleh tunduk kepada tekanan luar dalam membuat keputusan perolehan.
“Segala keputusan mesti berlandaskan keperluan strategik, nilai terbaik kepada negara serta manfaat jangka panjang kepada rakyat, bukan atas syarat yang ditentukan negara asing,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau yang mewakili suara anak muda dalam parti itu turut menggesa kerajaan memastikan semua urusan perdagangan dan perolehan negara dilakukan secara telus serta mengutamakan kepentingan nasional.
Katanya lagi, kerajaan perlu memastikan sebarang perolehan antarabangsa turut memberi pulangan kepada industri tempatan, termasuk pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti.
“Jika kita akur kepada tekanan sebegini, ia akan mencetuskan preseden berbahaya dan membuka ruang kepada campur tangan asing dalam keputusan strategik negara.
“Ini bukan sekadar soal dagang, tetapi melibatkan soal maruah dan kedaulatan negara. Duit rakyat bukan alat tawar-menawar geopolitik. Kedaulatan ekonomi negara mesti dipertahankan,” katanya.
Terdahulu, laporan media mengaitkan kemungkinan rundingan penurunan tarif eksport oleh Washington dengan pembelian pesawat Boeing oleh beberapa negara termasuk Malaysia.
Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai tekanan perdagangan tersirat oleh kuasa besar ekonomi dunia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dipetik berkata, pembelian pesawat berkenaan juga merupakan sebahagian daripada beberapa komitmen perdagangan Malaysia dalam rundingan tersebut.
Menurutnya, keputusan tersebut juga dibuat berdasarkan pertimbangan komersial dan keperluan jangka panjang industri penerbangan negara.