Kerajaan perlu menoktahkan harga beras putih, elak terus dimanipulasi – Syed Hussin

Berita Perak

BUKIT GANTANG: Kerajaan diminta segera menoktahkan isu berkaitan beras putih untuk mengelakkan ia terus dimanipulasi, kata Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Syed Abu Hussin mengulangi cadangannya agar beras putih dijenamakan kepada Beras Madani yang dijual dengan satu harga dan satu gred, tiada lagi beras tempatan atau import.

Menurutnya, ketika ini, beras putih tempatan mempunyai siling harga dan tidak dijual melebihi RM26 setiap 10 kilogram sedangkan beras import tiada kawalan harga.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan kemungkinan berlaku beras putih tempatan dicampur dengan yang diimport untuk mendapatkan harga lebih tinggi.

“Saya akan membangkitkan lagi isu ini pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 3 Februari depan,” katanya kepada pemberita selepas program sumbangan 10 metrik tan ikan percuma di Dewan Taman Mewah, Kamunting, dekat sini, hari ini.

Syed Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, beliau pernah mengemukakan cadangan itu pada mesyuarat NACCOL tetapi setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenainya.

Beliau berpendapat, isu itu sewajarnya dinoktahkan, lebih-lebih lagi harga beras import sekarang sudah turun daripada RM2,800 setan kepada RM2,200.

“Saya bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke Pakistan dan mereka meminta kita beli 100,000 tan dan saya dah jumpa 28 pengeksport yang bersedia jual beras putih kepada kerajaan dengan harga RM2.20 sekilo.

“Saya telah pun berjumpa Bernas meminta kebenaran mereka punya konsesi tetapi mereka belum beri jawapan,” ujarnya.

Pada Oktober, Anwar berkata, Malaysia akan membeli beras dari Pakistan dan telah menetapkan 100,000 tan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan melihat mekanisme harga dan sebagainya.