IPOH: Kerajaan negeri Perak mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden seorang wanita naik ke pentas utama mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri 2025 pada Ahad.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak kerana insiden itu berlaku sangat pantas dan tidak terfikir boleh berlaku dalam program yang dianjurkan kerajaan.
Menurutnya, dalam masa sama insiden itu merupakan satu peringatan kepada semua pihak supaya mengambil langkah keselamatan tambahan bagi mengelakkannya daripada berulang.
“Kena peka tentang keselamatan, kena buat sebab benda macam-macam boleh berlaku, itu kita ingatkan dalam Exco tadi.
“Saya yakin dannsaya difahamkan pihak PDRM, Bukit Aman pun dah panggil dan mereka semua pun dah jadikan semua ini sebagai wake up call,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Empower Tahfiz suatu inisiatif khas pemerkasaan anak-anak tahfiz Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Saarani berkata, kerajaan negeri turut menzahirkan rasa kagum kepada Sultan Nazrin kerana meneruskan program, termasuk bersalaman dengan rakyat, di sebalik kejadian tersebut.
Pada Ahad, seorang wanita yang memakai kemeja dan seluar hitam tersebut dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat sewaktu lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi itu dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain rekod rawatan psikiatri yang kini berada di bawah pengawasan pakar.