IPOH: MIC meminta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberi perjelasan berhubung kenyataan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, Datuk A. Sivanesan mengenai pelantikan politik melibatkan parti itu.
Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M. Ramasamy berkata, mereka kecewa dengan kenyataan Exco daripada DAP itu yang mendakwa menasihati Saarani supaya menangguhkan sebarang lantikan politik wakil MIC sehingga keputusan Perhimpunan Agung parti itu, 16 November ini.
Ramasamy berkata, beliau sendiri tidak percaya dengan kenyataan itu kerana MIC telah lebih tujuh dekad bekerjasama dengan UMNO sedangkan hubungan dengan DAP baru tiga tahun.
“Betul ke atau tidak (kenyataan itu) itu saja. Tapi saya tidak percaya Sivanesan, betul saya kata, dia DAP.
“Kita parti MIC untuk kaum India, parti dia untuk semua kaum dan kita jaga kaum India sudah berapa tahun, berapa dekad kita buat.
“Dia dapat exco baru-baru ini, dia nak tunjuk macam mana dia boleh kawal MIC, siapa dia?,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang media khas selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua-Ketua Bahagian MIC Perak di sini, hari ini.
Ramasamy berkata, mereka telah beberapa kali cuba memohon temujanji dengan Menteri Besar untuk membincangkan mengenai hal ehwal masyarakaf India tetapi diabaikan.
Menurutnya, MIC Perak terasa seolah-olah disisihkan kerana banyak usul yang dikemukakan sejak tahun lalu tidak diendahkan.
Pada Sabtu, Sivanesan dalam satu video di platform DESAM mengakui menasihati Saarani untuk menangguhkan sebarang lantikan politik untuk wakil MIC sehingga pendirian parti itu diputuskan dalam Perhimpunan Agung pada 16 November depan.









