KUALA KANGSAR: Kenaikan kos rawatan swasta termasuk insurans perubatan dan premium kad kesihatan semakin membebankan rakyat akhir-akhir ini.
Kebimbangan itu telah beberapa kali disuarakan oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Tegasnya, alasan kenaikan premium atas faktor kos rawatan dan inflasi perubatan sering digunakan.
Bagaimanapun, menurutnya keadaan ini tidak sejajar dengan kemampuan rakyat yang sedang bergelut
dengan tekanan sara hidup.
“Sejak tahun lalu saya telah membawa perkara ini ke Dewan Rakyat, dan sekali lagi saya tegaskan bahawa beban kenaikan kos rawatan swasta saban tahun amat menekan.
“Khususnya bagi golongan M40 dan B40 yang terpaksa menanggung premium yang semakin tinggi.
“Harga rawatan di hospital swasta masih tidak telus dan rakyat kerap berdepan kesukaran membuat tuntutan insurans.
“Malah ada tuntutan ditolak tanpa penjelasan yang jelas yang mana bukan sahaja membebankan, malah menimbulkan ketidakadilan kepada rakyat yang sudah pun membayar premium tinggi,” katanya.
Justeru beliau berkata antara cadangan yang telah dikemukakan ialah menggubal Akta Ketelusan Kos Rawatan Swasta bagi memastikan harga rawatan di hospital swasta dapat dikawal.
Selain itu, kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya bebas bagi memantau dan
mengawal premium insurans dan takaful.
Seterusnya, perlu ada pelepasan cukai yang lebih adil termasuk rebat tambahan kepada golongan M40 dan B40 yang mengambil takaful perubatan swasta.
“Perlu diwujudkan tribunal khas untuk membela rakyat dalam kes tuntutan insurans yang ditolak secara tidak munasabah.
“Namun jawapan bertulis yang saya terima daripada kerajaan amat mengecewakan.
“Jawapannya tidak banyak beza daripada tahun sebelumnya dan masih tertumpu kepada pelan jangka
panjang seperti kerangka RESET, sistem pembayaran DRG serta pembangunan produk asas
MHIT.
“Saya tidak menolak pelan ini, RESET adalah pelan jangka panjang yang menyeluruh.
“DRG merupakan sistem bayaran hospital berdasarkan kategori penyakit, manakala MHIT asas pula bertujuan menyediakan perlindungan lebih mampu milik,”katanya.
Beliau berkata kerajaan seharusnya membentuk satu kerangka jangka pendek dengan menggunakan akta
sedia ada dan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas.
Langkah itu boleh menjadi
penyelamat sementara kepada rakyat dengan membendung kenaikan kos rawatan dan premium.
Di samping memastikan hospital swasta dan syarikat insurans tidak sewenang-
wenangnya menindas pengguna.
“Tanpa langkah jangka pendek, rakyat akan terus menderita sementara menunggu pelan jangka panjang dilaksana.
“Saya menyeru agar kerajaan benar-benar mendengar suara rakyat yang semakin terhimpit dengan beban kos kesihatan.
“Perancangan jangka panjang boleh diteruskan, tetapi tanpa tindakan segera, rakyat tetap akan terus menanggung derita.
“Kesihatan adalah isu kehidupan, ia bukan sesuatu yang boleh ditangguh,” katanya lagi.