IPOH: Kebakaran Pasar Raya Mydin Manjoi di Ipoh yang berlaku lewat petang Ahad masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya, setakat jam 10 pagi Isnin.
Anggota bomba masih melaksanakan tugasan operasi melalui kerja-kerja overhaul bagi memastikan sisa bara kebakaran dipadamkan sepenuhnya
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, operasi dibahagikan kepada empat bahagian dan setiap pasukan memadamkan sisa kebakaran di bahagian-bahagian berkenaan dengan dibantu oleh sebuah jentera ‘skylift’
“Susulan daripada kejadian semalam, pagi ini kita punya pasukan forensik iaitu pasukan Bahagian Siasatan Kebakaran telah hadir dengan keanggotaan daripada JBPM Negeri Perak seramai 10 orang dan dijangka pasukan forensik daripada ibu pejabat juga akan turun untuk menjalankan kerja-kerja siasatan yang tertumpu di dalam bangunan,” katanya ketika ditemui pagi ini.
Menurutnya, operasi pemadaman diteruskan sepanjang malam bagi memastikan tiada lagi situasi yang boleh menimbulkan bahaya.
“Sebenarnya, pada pukul 4 pagi, kita telah hentikan sebentar untuk melihat, meninjau kemerbahayaan yang masih wujud dan pada malam tadi memang kita nampak masih ada lagi sisa-sisa bara api yang timbul.
“Dan kita teruskan pemadaman menggunakan areal ladder platform kepada tompokan-tompokan bara api tersebutlah sehingga pagi ini,” ujarnya.
Operasi pagi Isnin melibatkan 30 anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat berhampiran, di samping bantuan dari pelbagai agensi seperti polis, Rela, Pertahanan Awam, TNB dan pejabat daerah.