Kemalangan dua motosikal, lelaki maut tercampak dalam parit

Berita Perak

BAGAN SERAI: Seorang lelaki maut tercampak ke dalam parit setelah motosikal yang ditunggangnya dipercayai bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Parit Buntar ke Sungai Bogak di sini hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mangsa yang berusia 58 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi cedera.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan sekitar jam 7.08 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai digerak atur ke lokasi.

“Berlaku kemalangan melibatkan dua buah motosikal iaitu sebuah jenis Yamaha LC bertembung dengan motosikal Honda EX5.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati seorang mangsa lelaki berusia 58 tahun yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC telah tercampak ke dalam parit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Manakala mangsa lelaki berusia 44 tahun yang menaiki motosikal jenis EX5 cedera ringan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Sabarodzi berkata, anggota bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera.

Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Parit Buntar dengan jentera EMRS bagi menerima rawatan lanjut.