GERIK: Pemandu bas yang terlibat dalam nahas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Isnin lalu
mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gerik pada Jumaat terhadap 16 pertuduhan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Tertuduh, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan
Mengikut pertuduhan, dia sebagai pemandu bas dengan nombor pendaftaran PLD 8892 didakwa telah memandu dengan cara yang merbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian 15 penuntut UPSI.
Lima belas penuntut itu ialah Fakhrul Arif Rosdi, 20, Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian, 21, Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Sufea Adela Maslihaizan, 21, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21.
Nur Dalilah Farhana Mohamad Isma, 21, Nurly Sahirah Azman, 23, Fatin Nasrien Fadli, 22, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nor Ayuni Maslan, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21 dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 53, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), kira-kira jam 1.15 pagi, pada 9 Jun lalu.
Dia didakwa 15 pertuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa satu pertuduhan mengikut Seksyen 42 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan kelas lesen memandu tidak kurang lima tahun dan kesalahan akan diendorse pada lesen memandu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM19,00 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin di samping perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain semua kelas lesen memandunya digantung dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama dua Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dan
N. M Moganaraj Mithra manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah pada 3.20 petang dengan memakai kemeja T berwarna biru dan berseluar jeans biru selain memakai pelitup muka.
Dalam kejadian sekitar pagi Isnin itu 15 penuntut UPSI maut manakala 33 orang tercedera apabila sebuah terbalik dalam kemalangan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.