BATU GAJAH: Sejak sekian lama, produk pelancongan Kellie’s Castle atau Istana Kellie di sini dikaitkan dengan cerita-cerita mistik.
Bagaimanapun, pengurusan baharu yang mengambil alih sejak Januari lalu, mahu mengubah persepsi berhantu kepada digital tourism, agro-tourism, dan pendidikan sebagai tarikan utama.


Lebih menarik, bangunan yang dibina atas rasa cinta William Kellie Smith dan isterinya Agnes dijenamakan sebagai Taj Mahal Malaya di sebelah siang manakala malamnya Colosseum Rome selepas proses pencahayaan dilakukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Fest Imperio Sdn Bhd (FiSB), Mohd Tsabit Abu Bakar berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan membuat pelaburan antara RM4 hingga RM6 juta.
Selain itu, katanya, FiSB dijangka memerlukan pelaburan tambahan keseluruhan RM30 hingga RM40 juta untuk membangunkan kawasan tambahan seluas 48 ekar yang terletak bersebelahan.
“Ini adalah pelaburan jangka paniang secara berfasa yang akan memberi tumpuan kepada digital tourism, agro-tourism dan pendidikan sebagai tarikan utama.
“Saya harap Kellie’s Castle terus menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa, sambil memelihara warisan sejarah dan budaya negeri Perak.




“Dengan perancangan rapi dan pelaburan berterusan, kita yakin Kellie’s Castle akan terus berkembang dan memberi pengalaman unik kepada pengunjung dari masa ke masa,” katanya ketika ditemui di di sini.
Mohd Tsabit berkata, tanah tambahan 48 ekar itu adalah milik daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) bagi membolehkan pelbagai produk pelancongan dikembangkan.
Menurutnya, jika tiada aral melintang, Disember ini, FiSB akan membuka produk pelancongan baharu di Japanese Village Park, Ipoh.
Jelasnya, kawasan seluas tiga ekar itu adalah selaras dengan konsep bandar berkembar Ipoh- Fukuoka, Jepun yang telah terjalin sekian lama.
Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Tsabit memberitahu, sejak diambil alih Kellie’s Castle telah melalui beberapa penambahbaikan termasuk sistem kiosk automatik, produk klasik tram, aktiviti memanah dan berkuda, serta kisah sejarah yang dikongsikan melalui platform media sosial.
“Kami juga membuka ruang baharu dikenali sebagai Mother’s Farm untuk memberi pengalaman agro-tourism, dengan tanaman buah-buahan, sayur-sayuran, dan penternakan ringan yang boleh dinikmati pelancong,” ujarnya.
Katanya, sejak itu, produk pelancongan itu telah menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar Perak.
“Dari Januari hingga November 2025, bilangan pengunjung meningkat daripada 13,000 hingga 15,000 kepada 18,000 hingga 20,000 sebulan,” tambahnya.
Dalam pada itu, ujarnya, mereka juga akan menganjurkan pelbagai program untuk menarik kunjungan masyarakat setempat, khususnya mereka yang tinggal di sekitar 20 kilometer dari Kellie’s Castle.
Sementara itu, Kellie’s Castle menjadi tumpuan pengunjung apabila pameran dan aktiviti jualan Rahmah dianjurkan di lokasi bersejarah ini semalam, menarik kehadiran ramai dari pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya, antara program itu ialah jualan Rahmah yang turut disertakan dengan aktiviti sampingan seperti pertandingan melukis, pemeriksaan kesihatan dan jualan produk cenderamata.
“Kita juga ada menjemput pasukan khas dari Kuala Lumpur untuk membuat persembahan istimewa, iaitu persembahan pipe and drums dari Scotland. Mereka berpakaian lengkap kostum tradisional dan menghiburkan pengunjung sepanjang hari,” katanya.





