Kelestarian alam: MBI raih dua pengiktirafan berprestij

Berita Perak

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih dua pengiktirafan berprestij dalam Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025 di bawah penarafan Low Carbon Cities Framework (LCCF).

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, di Kuala Lumpur semalam.

Menurut kenyataan MBI, anugerah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif LCCF yang diterajui oleh NRES serta dilaksanakan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Pengiktirafan yang diterima MBI adalah LCCF – 5 Diamond Award bagi Kawasan Perancangan Pusat (KPP) Ipoh dan LCCF – 3 Diamond Award bagi Bangunan UTC Perak.

“Pencapaian 5 Diamond bagi KPP Ipoh merupakan tahap tertinggi dalam sistem penarafan LCCF dan mencerminkan komitmen berterusan MBI dalam melaksanakan inisiatif pembangunan rendah karbon secara menyeluruh,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, usaha tersebut merangkumi pengurusan tenaga yang lebih cekap, pengurangan pelepasan karbon, pengurusan sisa mampan serta pelaksanaan elemen mobiliti hijau di kawasan pusat bandar.

Sementara itu, pengiktirafan 3 Diamond bagi Bangunan UTC Perak membuktikan keberkesanan pelaksanaan amalan hijau di peringkat bangunan, termasuk penjimatan tenaga elektrik, pengurusan operasi yang efisien serta peningkatan kesedaran amalan rendah karbon dalam kalangan warga kerja dan pengguna fasiliti.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja meningkatkan imej Ipoh sebagai bandar raya progresif dan mampan, malah memperkukuhkan komitmen kami untuk terus memperkasa pelaksanaan dasar serta inisiatif rendah karbon demi kesejahteraan generasi masa hadapan,” ujarnya.

MBI akan terus komited memperluas pelaksanaan pelan tindakan bandar rendah karbon sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan negara serta usaha menangani cabaran perubahan iklim global.