Kecil-kecil cili padi, calon anugerah Pandu Puteri Raja 2026 Asysha Zahra miliki bakat besar

Berita Perak

IPOH: Orangnya kecil tapi cita-cita dan bakatnya cukup besar. Itulah selayaknya digambarkan calon anugerah Pandu Puteri Raja 2026 Aysha Zahra Anuar, 17.

Penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist (MGS) itu adalah antara lima calon anugerah berkenaan dari negeri Perak.

Ditemui semasa program khidmat masyarakat, semaian kasih di Maahad Darul Salam, Tambun pada Jumaat, tutur kata anak bongsu dari tiga beradik itu begitu meyakinkan.

“Antara pra-syarat untuk saya menerima anugerah Pandu Puteri Raja ialah saya saya perlu menjalankan dan menjayakan program khidmat masyarakat selama tiga bulan.

“Melalui program ini, kami calon-calon perlu membuat kebaikan dan perubahan kepada masyarakat, tak kira benda tu besar ke kecil,” jelasnya.

Menurutnya, di bawah projeknya dia memberi sumbangan alat pembelajaran dan keperluan membasuh pakaian di samping sedikit makanan untuk bulan Ramadan, daripada hasil dana yang diperolehinya sendiri.

Tambahnya, dia memilih Maahad Darus Salam Tambun kerana ia kurang mendapat perhatian daripada orang ramai kerana kedudukannya yang agak terpencil.

“Saya rasa dengan membuat projek saya di sini, saya boleh mewar-warkan mengenai mahaad ini kepada masyarakat luar.

“Saya berharap dengan projek saya ini, akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk melakukan kegiatan yang baik di sini,” ujarnya.

Pelajar Tingkatan 5 itu memberitahu, dia melakukan beberapa cara untuk mengumpul dana, bagi menjayakan projeknya.

Antaranya, dia menjual cenderahati yang dibuatnya sendiri dan pakaian terpakai di media sosial samping membuat kerja am di rumah kawan-kawan ayahnya pada hujung minggu.

“Kemudian, tiga kali seminggu selama tiga jam saya akan bantu kerja di sebuah pejabat (swasta) dan sebuah hotel,” katanya sambil memberitahu dia berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM1,200.

Andainya berjaya menerima anugerah Pandu Puteri Raja,
Asysha Zahra berazam untuk meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan.