Keberanian PMX bukti Kerajaan MADANI berada di landasan betul – Kesavan

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membuat beberapa keputusan walaupun mencetuskan pelbagai perdebatan sepanjang tempoh dua tahun, membuktikan pentadbiran Kerajaan MADANI berada dalam landasan yang betul.

Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan berkata, antara beberapa keputusan kurang popular yang dilakukan adalah untuk memastikan ketirisan hasil negara dapat ditangani.

Menurutnya, apa yang diutamakan oleh Kerajaan MADANI ialah keperluan dan kebajikan rakyat.

“Dalam tempoh dua tahun ini ia telah menunjukkan keberhasilan di mana keberanian beliau melaksanakan penyasaran subsidi walaupun di peringkat awal ada golongan tidak puas hati.

“Tetapi setelah beberapa bulan dilaksanakan kita dapat jimatkan wang lebih RM1 bilion, ketirisan dapat dikawal. Ini menunjukkan bahawa keberanian beliau dalam memimpin jelas membuahkan hasil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani Parlimen Sungai Siput di Arena Sungai Siput di sini, malam tadi.

Kesavan berkata, dalam masa sama, Anwar juga tegas dalam soal tatakelola melawan rasuah selain memastikan subsidi negara dinikmati golongan yang sepatutnya.

Menurutnya, disebabkan itu semua pihak perlu terus memberi peluang kepada kerajaan untuk terus mentadbir negara bagi memastikan Malaysia berada pada tahap lebih baik.

“Sebagai Ahli Parlimen saya akan sentiasa memberikan sokongan dan dokongan malah kita yakin rakyat Malaysia sudah nampak keberhasilan itu dalam genap dua tahun ini.

“Jadi kita perlu memberikan tempoh masa baki tiga tahun akan datang ini untuk memastikan Malaysia benar-benar berada di dalam landasan ke arah negara maju,” katanya.

Mengenai majlis itu, Kesavan berkata, kehadiran masyarakat berbilang kaum pada majlis berkenaan membuktikan hubungan perpaduan di dalam kawasan Parlimen Sungai Siput sangat utuh.

Pada majlis itu lebih 4,000 orang hadir memeriahkan majlis dengan disajikan pelbagai persembahan serta variasi makanan yang ditampilkan.