Karnival kopi dalam kalender TMP, promosi produk usahawan Perak

Berita Perak

IPOH: Karnival Cherita Secangkir Kopi yang dianjurkan penghujung tahun lalu, telah dijadikan salah satu pengisian dalam kalender Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan Koperasi, Datuk Salbiah Mohamed berkata, keputusan itu dibuat antara lain untuk memberi sokongan kepada industri kopi di Perak.

Ini kerana menurutnya, sambutan yang diterima menerusi karnival itu sebelum ini begitu menggalakkan, di samping menghimpunkan lebih 40 usahawan kopi.

“Kerajaan negeri telah menzahirkan sokongan kepada industri kopi di Perak dengan penganjuran Karnival Cherita Secangkir Kopi bertempat di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo).

“Hasilnya, lebih dari 40 usahawan berasaskan kopi bersama sokongan dari agensi seperti Perak SADC, STeP, Jabatan Pertanian, MARDI, FAMA dan lain-lain dapat dikumpulkan di bawah satu program.

“Karnival ini mencatatkan kehadiran lebih 5,000 pengunjung dari dalam dan luar Perak. Ia juga merekodkan jualan lebih RM 80,000,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini pada Khamis.

Jelasnya program kopi di dalam kalender TMP 2024 itu nanti akan diberi pengisian lebih padat dan kerjasama agensi yang lebih erat terutama Tourism Perak.

“Saya juga ingin mempromosikan para usahawan kopi tempatan yang perlu kita sokong antaranya BagiKopi, Ngopdul Roastery, B’ Care Kopi, Kamar Kopi, Kopi & Bulan, Projek Kafein dan Perk&Sip.

“Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melalui Program empowerNCER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan turut menganjurkan kursus barista di beberapa daerah.

“Ia sebagai galakan kepada anak muda untuk menerima latihan kemahiran agar dapat memberikan nilai tambah dan estetika kepada produk minuman kopi yang dihasilkan,” katanya lagi.

Katanya, usaha itu dapat meningkatkan kapasiti serta produktiviti usahawan tempatan untuk bersaing setanding dengan jenama kopi terkemuka.

Salbiah berkata, terdapat lebih 100 kedai kopi pelbagai jenama yang diusahakan di seluruh Perak.