Kanak-kanak yatim piatu semakin meningkat di Malaysia

Berita Perak

GOPENG: Terdapat lebih 300,000 anak yatim di seluruh negara dengan status yatim piatu atau kehilangan penjaga semakin meningkat di Malaysia.

Perkara itu disuarakan Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor.

Katanya, kematian ibu bapa akibat kemalangan jalan raya dan COVID-19 menjadi antara faktor kepada peningkatan itu.

“Sehingga kini dianggarkan terdapat lebih 300,000 anak yatim di seluruh negara dengan sebahagian besarnya mendapat perlindungan di rumah jagaan dan asrama anak-anak yatim.

“Peningkatan ketara selepas COVID-19, sebab itu kita di Malaysia ini tidak mampu untuk mengambil anak-anak (yatim) dari negara lain yang sedang bermasalah.

“Pentingnya untuk kita selesaikan dan pastikan kebajikan diberi keutamaan kepada anak-anak yatim dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Semarak Kasih Muharam sempena Hari Anak Yatim 2024 di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim/Miskin Dahikmah di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Nor Tipah Majin.

Bagaimanapun beliau berkata, peningkatan itu tidak menjejaskan kemasukan anak-anak yatim ke rumah-rumah jagaan dan asrama sedia ada.

“Sekarang ini yang berdaftar di bawah Peyatim ada 72 rumah anak yatim, tetapi saya percaya, jumlah yang sama tidak lagi menjadi ahli kita.

“Ada asrama-asrama ini kita dapati kapasiti masih ada, tetapi tidak ada anak (penghuni),” katanya.

Dalam pada itu, Salbiah memaklumkan, kebajikan anak yatim di rumah jagaan akan terus menjadi fokus kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan golongan itu terus terbela.

“Selain turun padang melihat sendiri keperluan mereka, kita juga meluluskan permohonan yang dibuat terutama berkaitan pembangunan infrastruktur.

“Menerusi Belanjawan Negeri, setiap tahun kita menyalurkan RM400,000 bagi menaik taraf infrastruktur rumah anak yatim yang daif di seluruh negeri,” katanya.