IPOH: Karnival Anak Muda Perak (KAMU) 2025 yang akan diadakan pada 20 dan 21 September ini antara lain bertujuan mengiktiraf potensi dan kreativiti anak muda sebagai aset negeri yang berharga.
Pengerusi bersama karnival, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, penganjuran itu menekankan kepentingan menyediakan ruang dan peluang kepada anak muda untuk menyalurkan bakat dalam pelbagai bidang, di samping meraikan kepelbagaian minat serta aspirasi mereka.
Menurutnya, usaha itu sekali gus menjadi wahana membentuk generasi progresif yang mampu menyumbang bukan sahaja kepada pembangunan negeri, tetapi juga ke arah kesejahteraan negara secara keseluruhan.
“Karnival ini turut berfungsi sebagai medium penting bagi memperkukuh jalinan kerjasama antara kerajaan negeri, agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta masyarakat belia sendiri,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kehadiran pelbagai pihak berkepentingan dalam satu platform membuktikan komitmen bersama untuk melahirkan anak muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Mohamad Hamidi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Perak berkata, kerajaan yakin bahawa penganjuran KAMU 2025 akan memberi impak besar dalam pembinaan jati diri, penyemaian semangat patriotisme serta pengukuhan nilai-nilai positif dalam kalangan belia.
“Program ini juga dilihat seiring dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan masyarakat progresif, inklusif dan berdaya tahan, sekaligus menjadikan belia sebagai rakan strategik dalam merealisasikan visi negeri,” ujarnya.
Menurutnya, sepanjang dua hari penganjuran, KAMU 2025 menyasarkan penyertaan meluas daripada semua lapisan belia tanpa mengira latar belakang, bangsa mahupun agama.
Katanya, penganjur menyediakan pelbagai akiviti merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, kerjaya, keusahawanan, kesenian dan kebudayaan.
Beliau berkata, antara program utama yang dijangka mendapat perhatian termasuk kayuhan dan larian Perak Sejahtera 2030, AIM TVET bersama Menteri Besar Perak, Pekan Pop-UP ® KAMU 2025, khidmat gunting rambut percuma, jom healing anak muda dan malam taqarrub bersama anak muda.
Selain itu, katanya, anak muda juga boleh mengambil bahagian dalam bidang sukan dan rekreasi seperti pertandingan futsal, bola keranjang, kabaddi, bola sepak 9 sebelah dan e-sukan, di samping pertandingan fotografi, breakdance, drum dan peragaan busana tradisional.
“Penganjuran KAMU 2025 diharapkan dapat menjadi fifik pertemuan yang menyatukan pelbagai lapisan belia, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan, jati diri dan daya saing mereka.
“la juga diyakini mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berbakat, tetapi furut berperanan sebagai penggerak utama dalam agenda pembangunan negeri dan negara,” katanya.