KAMU 2024 tawar 10,000 peluang pekerjaan

Berita Perak

IPOH: Karnival Mesra Anak Muda (KAMU 2024) yang akan berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini, pada 6 hingga 8 September ini, menawarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan dari pelbagai sektor industri.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, setakat ini, lebih 60 buah syarikat telah mengesahkan untuk mengambil bahagian dalam karnival tiga hari itu.

Menurutnya, syarikat-syarikat itu terdiri daripada sektor perkilangan, perkhidmatan, perhotelan dan pembuatan.

“Tahun pertama penganjuran KAMU pada 2022, seramai 1,200 anak muda mendapat pekerjaan, meningkatkan kepada 1,600 tahun lalu dan tahun ini kita sasar sekurang-kurangnya 2,000 orang akan mendapat pekerjaan,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Bersama KAMU 2024, Mohamad Hamidi Baharuddin dan Nur Hanim Khairuddin.

Khairuddin berkata, KAMU merupakan program yang direka khas untuk menyemarakkan semangat kebersamaan dari segi membentuk aspirasi dan kreativiti dalam kalangan anak muda Perak.

Di samping itu, katanya, KAMU 2024 juga bertujuan menghimpun dan meraikan bakat kepimpinan serta potensi anak muda, selain menyediakan platform untuk mempromosi usahawan muda, inovasi teknologi dan meningkatkan kesedaran sosial serta alam sekitar.

“Karnival ini bukan sekadar hiburan tetapi juga sebuah landasan yang menyediakan peluang kepada belia untuk menonjolkan bakat, mendapatkan bimbingan dan membina rangkaian yang bermanfaat.

“Kami yakin KAMU 2024 akan menjadi dorongan penting yang disediakan kerajaan negeri untuk para belia Perak terus maju dalam mencapai impian mereka,” ujarnya.

Beliau memberitahu, berdasarkan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung tahun lalu, penganjuran KAMU 2024 dijangka menarik sekitar 400,000 pengunjung.

Menurutnya, pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang karnival tiga hari itu, seperti karnival kerjaya, festival sukan, pameran permotoran, sayembara puisi dan lagu, aktiviti keagamaan serta konsert.