Kampung Pantai Tin Saksi Jerih Perih Nelayan

Kampungku

“Selagi tidak kering air di Selat Melaka, selagi itu bot ini akan meredah lautan bersama kudrat empat kerat ini mencari rezeki sebagai nelayan”.

Begitu mendalam kata-kata yang keluar daripada mulut seorang anak jati Kampung Pantai Tin, Sungai Batu, Pantai Remis, Sedek Tan, 63.

Hakikatnya bukan mudah menjalani liku-liku kehidupan di lautan, memahami erti pasang surut laut serta ombak yang tidak mengenal belas kasihan, semata-mata bagi mencari lubuk ikan sebagai rezeki halal untuk menanggung keluarga.

Namun, itu semua sudah menjadi asam garam buat penduduk di Kampung Pantai Tin kerana boleh dikatakan hampir kesemua mereka telah menjadi nelayan sejak berumur belasan tahun.

Malahan rumah-rumah di situ terletak berdekatan dengan jeti yang menjadi tempat para peraih memperoleh bermacam-macam jenis hidupan laut termasuk sotong dan udang sebaik sahaja para nelayan pulang ke daratan membawa hasil.

Anak-anak kecil di kampung itu juga seolah-olah sedar tanggungjawab mereka yang perlu memahami bahasa laut sehingga kebanyakannya sudah pandai menjala ikan dan mengait pukat di kala usia masih muda, sedangkan rakan-rakan sebaya yang lain masih lagi asyik dengan permainan video dan aktiviti-aktiviti lain.

Meniti sisa kehidupan yang masih berbaki, Sedek menceritakan sekelumit kisah hidupnya sepanjang menetap di perkampungan yang menjadi saksi segala jerih perih insan bergelar anak nelayan.

“Kawasan ini dikenali sebagai Kampung Pantai Tin, kerana apa yang saya dengar dari mulut ke mulut, di pesisiran pantai dekat sini dulu banyak tin tersangkut atau terkumpul.

“Mungkin tin itu dihanyutkan air sampai ke sini, tapi sekarang kampung ini sudah diberi nama Kampung Nelayan Baru, bagaimanapun orang setempat masih guna nama asal,” katanya.

Sedek turut menceritakan bagaimana bertuahnya hidup di kawasan penempatan nelayan berbanding di tengah-tengah kesibukan kota, walaupun sebilangan individu berfikiran sebaliknya.

“Kalau nak tahu saya memang anak jati di sini dan mula jadi nelayan sejak umur 12 tahun lagi, dulu mana ada sangat orang belajar tinggi sampai ke universiti macam sekarang.

“Bagilah saya kerja pangkat setinggi mana pun, saya takkan sekali-kali tinggalkan kerja sebagai nelayan… jiwa saya lebih tenang di sini tak macam orang lain di bandar, bila turun ke laut dan bersatu dengan alam semulajadi, kita dapat rasa keindahan dan kebesaran Allah,” jelas Sedek sambil tangannya tidak berhenti membaiki pukat.

Terdapat 40 buah rumah di kampung itu, setiap satunya mempunyai reka bentuk ringkas dan tersendiri, penghuninya juga sudah saling mengenali hasil muafakat kerana jarak antara rumah penduduk tidaklah sejauh mana.

Difahamkan juga, setiap di antara mereka memiliki bot sendiri tanpa meminta bantuan daripada mana-mana pihak melainkan subsidi minyak yang diberikan oleh kerajaan bagi menampung kos yang kian meningkat.

“Kami turun ke laut paling awal pukul 7 pagi dan pulang ke darat 2 petang, ikut rezeki ada masa hasil melimpah ruah dan ada waktunya tiada langsung, hasil tangkapan kami jual pada orang tengah dan ada yang diletakkan di jeti di sini.

“Memang ramai yang selalu singgah sini sebab ikan, udang dan lain-lain lebih murah kalau nak dibandingkan dengan harga di pasar, ramai juga dah jadi pelanggan tetap di sini,” kata Sedek yang sering dibantu anak angkatnya, Ikmal Azali, 17.

Dengan menjadi pembantu Sedek pada waktu lapang, dapatlah Ikmal sedikit wang saku untuk perbelanjaan sekolah setiap hari.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Zulkifli Ibrahim, 38, sempat meluahkan apa yang terbuku di hatinya dengan tanggapan sesetengah pihak sepanjang 24 tahun dia bekerja di laut.

“Ada yang pandang rendah kerja kami dan anggap pendapatan kami setiap bulan hanya cukup makan, semua tanggapan itu tak benar sama sekali sebabnya ada nelayan yang dapat ribuan ringgit sehari kalau hasil banyak dan cuaca baik.

“Selalunya orang lain ingat yang pakai baju kemas, bertali leher dan kerja di bandar sahaja yang boleh jadi kaya, tak betul sebenarnya sebab kalau semua kemudahan dan kelengkapan cukup, insya-Allah pendapatan nelayan dalam sehari boleh cecah gaji sebulan,” terang Zulkifli.

Sambil memperbaiki bot miliknya, Zulkifli sempat berkongsi masalah yang sering menghantui penduduk di situ bertahun lamanya iaitu mengenai aktiviti pukat tunda yang dijalankan oleh sebuah syarikat besar di kawasan pantai berkenaan.

“Sebenarnya perkara ini sudah banyak kali kami adu kepada pihak-pihak tertentu terutamanya anggota marin, kami penduduk di sini banyak yang jadi nelayan jadi apabila aktiviti pukat tunda dijalankan secara haram dan salah di sisi undang-undang, kuranglah hasil laut.

“Semua dikaut dek pukat tunda, padahal ikut peraturan mesti sekurang-kurangnya tujuh batu nautika dari sini, perkara dah diadu, tindakan tak juga diambil oleh pihak berwajib, tengok-tengoklah sama aktiviti haram itu,” katanya mengharap.

Tambahnya, sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan memberi kesan buruk kepada aktiviti perikanan di situ tambahan pula kawasan di sekitar Pantai Remis dikenali dengan industri perikanan yang menjadi sektor ekonomi utama.

“Terlanjur bercerita pasal masalah ini saya harap kerajaan negeri dapat tolong selesaikan masalah di sini, semua usaha sudah dibuat dengan pelbagai aduan, bantulah kami hapuskan masalah pukat tunda ini dengan secepat mungkin,” ujarnya.

Potensi Kampung Pantai Tin menjadi sebuah kawasan pelancongan untuk para kaki pancing sememangnya cerah, kerana menurut beberapa penduduk tempatan, ramai pengunjung luar yang cintakan aktiviti laut kerap datang dan menyewa bot-bot daripada nelayan untuk ke destinasi tertentu bagi melepaskan gian memancing.

“Ada waktu tertentu mereka datang dan mengupah saya serta sewa bot untuk ke laut dan ada juga sampai ke Pangkor, selalunya kadar bayaran bergantung kepada keadaan dan berapa hari mereka di sini,” kata Zulkifli.

Selain itu terdapat tempat perkhemahan yang disediakan di Tanjung Batu iaitu sebuah kawasan berhampiran dengan kampung tersebut tetapi pengunjung perlu menaiki bot untuk ke sana.

Tanjung Batu juga merupakan tempat persinggahan utama kapal-kapal dari dalam dan luar negara bagi mendapatkan batu-batuan semulajadi sejak sekian lama.

“Banyak kapal datang ke sini, selalunya dari luar negara sebab nak ambil batu di sini, tempat ini jadi kawasan pengeksport batu dan memang sibuk dengan aktiviti itu,” jelasnya lagi.

Begitulah sekelumit kisah para penduduk di sekitar Kampung Pantai Tin yang rata-ratanya nelayan, jika anda berpeluang ke sini, anda pastinya akan lebih memahami segala isi hati mereka dan apa yang menjadikan tempat ini sangat istimewa.

Bagi yang berminat untuk menyewa bot dan menyertai aktiviti memancing, boleh menghubungi Zulkifli di talian 017-5993820 atau datang sendiri ke kampung ini untuk mendapat maklumat lanjut.