Kampung Kuchai – Titik Permulaan Bandar Ipoh

Kampungku

Oleh: Aida Aziz

KAMPUNG KUCHAI yang terletak berhampiran Masjid Panglima Kinta, Ipoh dahulunya pernah menjadi persinggahan golongan bangsawan dan saudagar selain meriah dengan aktiviti ekonomi.

Bagaimanapun, situasi kampung itu kini tidak ubah seperti penempatan usang dan terbiar meskipun masih mempunyai beberapa orang penduduk di dalamnya.

Kewujudan kampung di persisiran Sungai Kinta itu juga penting bagi memperlihatkan khazanah dan warisan penempatan Melayu yang kekal sehinga kini, malah mampu menjadi bukti penting sejarah awal di negeri Perak.

Menurut Presiden Persatuan Warisan Perak, Mohd Taib Mohamed, Kampung Kuchai boleh menjadi hab warisan Melayu dan dijadikan salah satu produk pelancongan untuk dipamerkan kepada orang ramai.

“Kita perlu memahami asal usul Sungai Kinta, bagaimana Datuk Panglima Kinta yang pertama mudik sampai ke Gunung Cheroh sebelum ditabalkan dan diterima oleh masyarakat tempatan sebagai ketua.

“Terdapat beberapa buah kampung di sepanjang Sungai Kinta seperti Kampung Pisang (Medan Istana), Kampung Ipoh, Kampung Masjid Lama, Kampung Paloh, Kampung Jawa serta Kampung Kuchai,” katanya sambil menambah, Sungai Kinta adalah legasi penduduk Melayu awal di Ipoh pada tahun 1880.

Menurutnya, sebelum ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah membuat kajian bagi membangunkan kawasan disekitar bandar raya termasuk Sungai Kinta, Kampung Kuchai serta beberapa komponen yang lain.

Namun, ia masih di peringkat perancangan dan dipercayai tertangguh sejak lima tahun lalu atas faktor tertentu.

“Kawasan itu kini nampak terbiar, kemungkinan tanah milik orang Melayu yang ada tidak berwaris, dipajak kepada bank serta masalah hak milik tanah.

“Pihak berwajib perlu mengkaji senibina masyarakat Melayu pada waktu itu, untuk membina semula bentuk rumah Melayu asal kerana banyak bangunan lama yang usang boleh dibaikpulih dan digunakan.

“Contohnya, pihak Politeknik Ungku Omar (PUO) yang mahir dalam pengkhususan teknik lukisan terukur bangunan lama, boleh membangunkan semula struktur walaupun berusia lebih 100 tahun,” katanya.

Suara Perak berkesempatan menemubual salah seorang penduduk tempatan, Rosli Minan yang juga Siak di Masjid Panglima Kinta.

Ujar Rosli, masih banyak rumah di kampung itu yang boleh didiami tetapi tidak diselenggara dengan baik sehingga reput dimakan usia.

“Kawasan di sini memang sunyi dan bahaya jika datang seorang diri, malangnya ada rumah yang masih cantik seni ukirannya dan memperlihatkan warisan Melayu.

“Kalau ada pun rumah yang disewakan menjadi bengkel membaiki kenderaan, selebihnya dipenuhi semak dan belukar,” kata Rosli ketika ditemui di rumahnya yang terletak bersebelahan Masjid Panglima Kinta.

Beliau memberitahu, kampung itu pernah meriah dengan penduduk, tetapi masing-masing sudah berpindah ke tempat lain dan rumah mereka menjadi rumah pusaka.

Keadaan kampung kian lengang dan menjadi sunyi apabila hampir semua penduduk sudah mula berpindah sekitar tahun 70-an.

Dalam pada itu, baru-baru ini terdapat beberapa usaha positif waris kepada tokoh yang bertanggungjawab membuka penempatan berkenaan.

Difahamkan mereka akan menyokong serta memberi kerjasama jika kawasan hak milikan ini dibangunkan demi kebaikan bersama di Perak.