JSJN Perak rampas dadah lebih RM4 juta sejak awal tahun

Berita Perak

IPOH: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak merampas dadah bernilai lebih RM4 juta sejak Januari hingga 5 Mei.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah itu membabitkan tangkapan keseluruhan 7,171 orang.

Menurutnya, daripada jumlah itu 946 orang ditangkap kerana membekal, 2,012 orang (memiliki), 48 orang mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan 4,165 orang ditangkap disebabkan positif ujian saringan air kencing.

“Bagi rampasan dadah pula, sebanyak 54.934 kilogram (kg) syabu bernilai RM 3.13 juta, 1.54kg ketamin (RM231,568.50), 0.328kg pil ecstasy (RM7,227), 0.592kg pil yaba (RM6,519.70), 1.157kg pil erimin 5 (RM51,760.48) dan 0.019kg kafein (RM6,587).

“Selain itu, sebanyak 2.522kg ganja bernilai RM25,220.60 dan 40.911kg heroin (RM634,895.90) dirampas dalam tempoh sama” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Mohd Yusri, berkata, keseluruhan nilai sitaan harta bagi kesemua rampasan dadah berkenaan adalah RM4.24 juta.

“Bagi Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sebanyak 264 orang sudah dituduh di mahkamah,” katanya.