JPN Perak kenal pasti calon SPM berpotensi tidak hadir peperiksaan bertulis

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah mengenal pasti calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah berkemungkinan tidak hadir peperiksaan.

berkemungkinan tidak hadir peperiksaan. akan memberi perhatian serius terhadap

Pengarahnya, Safuan Raba’ai berkata, pihaknya akan memberi perhatian serius perkara itu, sekaligus mengurangkan kadar keciciran calon SPM tahun ini.

Menurutnya, JPN Perak telah meminta kerjasama semua pihak dalam memastikan tidak berlaku keciciran pelajar yang menduduki peperiksaan SPM.

“Kita ada data dashboard untuk memastikan bahawa murid-murid yang ada tendency keciciran ini, murid-murid ini dapat kita tangani lebih awal dan kita harap bilangan (keciciran) itu pada tahun ini dapat dikurangkan.

“Kalau lihat dalam data kita ada di kalangan murid-murid kita ini yang sudah memilih kerja dan ada juga yang telah meninggal dunia.

“Antara faktor-faktor inilah yang menyebabkan mereka tidak terlibat dengan peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Kuala Kangsar Serambi Khalid di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Hadir Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang mencetuskan idea penubuhan Serambi Khalid.

Dalam pada itu, Safuan menasihati warga pendidik untuk mengambil maklum mengenai pelajar di sekolah masing-masing berkaitan persiapan mereka bagi menghadapi peperiksaan.

“Kita mengharapkan supaya komuniti dan ibu bapa dapat juga melihat murid-murid kita yang sedang berjuang dalam peperiksaan ini untuk dibantu dari segi emosi.

“Maklum sajalah dalam keadaan menghadapi peperiksaan ini dari segi kesihatan mental mereka haruslah kita pelihara secara bersama,” ujarnya.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau mendedahkan daripada kira-kira 30,000 calon SPM tahun ini, ada di antara mereka yang tidak hadir semasa Ujian Lisan Bahasa Melayu pada 2 Disember lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai bilangan calon yang terlibat.

Untuk rekod, tahun lalu seramai 1,106 calon SPM yang tidak menduduki peperiksaan berkenaan di Perak.