IPOH: Orang ramai, khususnya anak muda di Perak dinasihatkan supaya jangan gelojoh membuat sebarang kenyataan, lebih-lebih lagi di dalam media sosial.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, mereka juga jangan terlalu teruja sehingga sanggup menunggang semua isu untuk mengejar populariti.
“Saya ingin menasihatkan supaya jika ada sesuatu itu, jangan terlalu gelojoh untuk buat kenyataan.
“Jangan terlalu ‘excited’ untuk menunggang (sehingga) semua isu pun nak tunggahg, jangan teruja untuk kejar popularti,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan dan mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Mohd Hafez Sabri berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial.
Menurut kenyataan SKMM hari ini, siasatan itu susulan hantaran yang dibuat mengenai insiden seorang wanita menaiki pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh, baru-baru ini.
Pada 1 September lalu, Astro AWANI melaporkan Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Hafez Sabri tampil memohon maaf dan mengakui kekhilafan berhubung satu hantaran di Facebook miliknya yang tular berkaitan insiden cubaan seorang wanita menyerang Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Wakil rakyat dari Pas itu mendakwa hantaran awal yang dibuatnya telah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.