Jambatan Jalan Tun Abdul Razak di Ipoh ditutup hingga Januari untuk kerja baik pulih

Berita Perak

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melaksanakan kerja-kerja baik pulih serta kerja-kerja berkaitan di Jambatan Jalan Tun Abdul Razak, di sini, bermula 14 Oktober lalu hingga 6 Januari depan.

MBI dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan kerja itu merupakan sebahagian daripada usaha penyelenggaraan berterusan bagi memastikan struktur jambatan kekal selamat, stabil serta mematuhi piawaian teknikal semasa.

Menurutnya, bagi melancarkan pelaksanaan kerja dan menjamin keselamatan pengguna, penutupan sepenuhnya akan dilaksanakan bermula 30 Oktober ini, melibatkan Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Tun Perak dan Jalan Persiaran Kidd.

“Sepanjang tempoh ini, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi papan tanda amaran, panduan lencongan serta arahan pegawai bertugas.

“Laluan alternatif turut disediakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan Buntong, Silibin, pusat bandar Ipoh, Jalan Lahat dan Falim,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, MBI akan memastikan semua kerja dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan serta mematuhi sepenuhnya langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, orang awam diseru agar merancang perjalanan lebih awal dan mengikuti hebahan rasmi MBI dari semasa ke semasa melalui saluran media massa dan media sosial rasmi MBI.

“Dengan pelaksanaan kerja-kerja baik pulih ini, MBI kekal komited dalam memastikan infrastruktur bandar raya berada pada tahap terbaik, sejajar dengan aspirasi Ipoh Bandar Raya Pintar dan Rendah Karbon 2030 serta Perak Sejahtera 2030,” ujarnya.