IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan melakukan audit bagi memastikan status terkini hak milik tanah semua masjid di seluruh negeri.
Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, pihaknya bersama-sama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan membuat langkah pentadbiran untuk semua pengerusi masjid memastikan status hak milik tanah masjid masing-masing.
Menurutnya, ia bagi mengelakkan berulang kes tanah wakaf Masjid Jamek Ar Ridzuan Alor Pongsu yang dijual oleh waris kepada pihak lain.
“Kalau ada yang begini, kita akan cuba selesaikan sebelum timbul isu sebab maklumlah ada 600 masjid.
“Kadang-kadang bila nak buat masjid, daftar tak daftar… kadang-kadang dipecahkan kepada, dia bagi pada waris tiga suku, satu kepada MAIPk,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Beliau berkata, dengan sistem berkomputer dan teknologi terkini, MAIPk akan mengemaskini data di samping membuat pemeriksaan dengan pejabat-pejabat tanah untuk mengetahui status terkini.
Beliau menyifatkan pelbagai tuduhan liar di media sosial termasuk kepada MAIPk dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Mohd Annuar memberitahu, beliau difahamkan setakat ini, lebih RM2.1 juta berjaya dikutip untuk tabung pembelian semula tanah masjid berkenaan yang berharga RM1.8 juta.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak masjid supaya segera menyelesaikan urusan jual beli tanah berkenaan dan pihak MAIPk sedia untuk membantu.
Terdahulu, timbul isu berhubung tuntutan pemilikan tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan dimiliki seorang individu bukan Islam, selepas tanah wakaf untuk pembinaan masjid itu dijual oleh waris pewakaf.
Bagaimanapun, pemilik berkenaan bersetuju untuk menjual semula tanah berkenaan.
Susulan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk menggunakan wang kutipan derma solat Jumaat di seluruh negeri bagi membeli sebahagian tanah yang bernilai RM1.8 juta daripada pemiliknya