Isu stoking kalimah Allah: UMNO senada dengan Agong, Pemangku Sultan Johor

Berita Perak

TANJUNG MALIM: UMNO senada dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam isu stoking yang tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah pasar raya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ketua Pemuda, Dr Muhamad Akmal Saleh telah diminta untuk menyantuni isu tersebut.

Tegasnya, isu berkenaan bukan hanya soal agama dan kaum, sebaliknya lebih daripada itu.

“Saya juga mendapat respon daripada pelbagai pihak parti-parti politik saya merasakan bahawa ini merupakan satu perkara terkelas dalam 3R dan isu-isu ini tidak boleh dipandang ringan walaupun pihak KK Mart telah memohon maaf dan kita minta Ketua Pemuda UMNO menyantuni perkara ini.

“Saya yakin bahawa perkara ini tidak akan berlaku lagi dan tentunya akan lebih berhati-hati.

“Kita juga harap mana-mana pasar raya yang ada rangkaian di seluruh negara belajar dari kesilapan dihadapi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Warga FELDA di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) FELDA Trolak, Tanjung Malim, pada Selasa.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mahu ada yang mengambil ringan, apatah lagi yang mengambil kesempatan agar ianya tidak disalah tafsir dan ditunggangi.

“Kita berharap harap pandangan Tuanku Agong dijadikan sebagai asas,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Sultan Ibrahim murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan sarung kaki atau stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Baginda bertitah mahu tindakan paling keras diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Yang di-Pertuan Agong juga bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

Baginda bertitah, sebagai sebuah negara dengan masyarakat majmuk, kesilapan seumpama itu tidak boleh diterima dan tidak dibenarkan untuk berlaku lagi.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail pula dilapor turut menitahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap isu kalimah Allah.

Tunku Mahkota Ismail dipetik bertitah, langkah berkenaan perlu diambil bagi memastikan isu sedemikian tidak akan berulang lagi.