IPOH: Kesesakan luar biasa di Cameron Highlands sehingga menyebabkan pengunjung terkandas berjam-jam di atas jalan raya memberi banyak implikasi buruk kepada sektor pelancongan di situ.
Isu itu wajar dipandang serius kerana ia sudah berlarutan sekian lama, sehingga ada yang mendakwa sektor perhotelan terjejas teruk susulan banyak tempahan yang dibatalkan pelanggan.
Justeru itu, Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah menggesa supaya jalan penyelesaian dilakukan oleh kerajaan.
“Setiap kali cuti umum, ribuan pelancong terpaksa menghabiskan berjam-jam di atas jalan raya.
“Ada yang terperangkap sehingga separuh hari sebelum dapat sampai ke destinasi.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengunjung, malah menyebabkan keletihan dan kekecewaan, hingga ada yang membatalkan rancangan bercuti ke Cameron Highlands,” katanya.
Beliau turut menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan bahawa industri perhotelan kini terjejas teruk.
“Ramai kata banyak tempahan dibatalkan kerana pelancong tidak mahu menghadapi kesesakan yang melampau ini.
“Peniaga kecil juga merasai impak besar apabila jumlah pengunjung menurun atau tiba lewat daripada yang dijangka,” katanya lagi.
Katanya, antara cadangan yang boleh dilakukan seperti merancang dan membina jalan alternatif ke Cameron Highlands bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan sedia.
Selain itu, melakukan penyelenggaraan dan naik taraf sistem lalu lintas seperti pelebaran jalan, kawalan trafik pintar dan kemudahan parkir bersepadu.
Di samping, mengadakan sesi libat urus bersama penduduk, pengusaha pelancongan dan peniaga untuk mendapatkan input langsung dari pihak terkesan.
“Cameron Highlands merupakan salah satu destinasi pelancongan utama negara.
“Jika isu ini terus diabaikan, bukan sahaja ekonomi tempatan merosot, malah Malaysia boleh kehilangan salah satu tarikan pelancongan alam semula jadi yang paling berharga,” katanya.