Isu MYAirlines: Pelabur berpotensi tarik diri

Berita Perak

BATU GAJAH: Kemelut yang melanda syarikat penerbangan MYAirlines dijangka terus berpanjangan apabila pelabur yang dikatakan berpotensi telah membatalkan hasrat untuk melabur di dalam syarikat penerbangan tambang murah itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerima surat daripada pelabur berkenaan yang menyatakan bahawa mereka membatalkan hasrat tersebut.

Menurutnya, ekoran pembatalan itu dan sebagai sebuah syarikat swasta, terserah kepada pihak MYAirline untuk mengambil langkah seterusnya.

“Dia nak cari pelabur lain atau macam mana, itu terpulang kepada mereka, tetapi obligasi mereka tetap ada.

“Obligasi mereka kepada penumpang dan juga kepada pekerja mereka masih terhutang, sebab pekerja-pekerja masih dikekalkan dan Jabatan Tenaga Kerja tahu bahawa pekerja-pekerja mereka ni tak ditamatkan kontrak lagi.

“Mereka masih ada kontrak dan obligasi syarikat itu terhadap pekerja mereka masih berkekalan,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Akademi KTM Kali Ke-6
di Akademi KTM, di sini, hari ini.

Januari lalu, Loke berkata, MYAirline harus mematuhi beberapa syarat besar yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan termasuk memulangkan semula pembelian tiket terdahulu kepada 125,000 pelanggan bernilai RM22 juta.

Selain itu, gaji pekerja yang tertunggak juga harus diselesaikan sebelum memulakan proses perbincangan membawa masuk pelabur baharu.

Menurut Loke, ketika pertemuan dengan bakal pelabur berkenaan beberapa minggu lalu, beliau telah memaklumkan apa yang perlu mereka patuhi di samping
berkongsi pandangan mengenai cabaran dan potensi industri penerbangan negara.

Oktober tahun lalu, MYAirlines mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober kerana tekanan kewangan.