IPOH: Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) tampil memohon maaf susulan kontroversi yang timbul dari program lawatan di sebuah rumah ibadat bukan Islam di ibu negara pada 30 Julai lalu.
Selain kenyataan peserta kursus berkenaan sehingga menimbulkan salah faham serta menjejaskan nama baik kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JAIPk, video yang dipapar itu merupakan lawatan secara tertutup yang dikendali oleh Global Unity Network (UNITY) dengan kerjasama JAIPk.
Ia melibatkan 32 orang peserta terpilih dari seluruh Perak.
Ujarnya lagi, kesemua peserta terlibat sedang mengikuti lima kursus dakwah di bawah JAIPk yang bertujuan meningkatkan kefahaman mereka mengenai hal ehwal aktiviti dakwah.
Manakala lawatan berkenaan adalah salah satu modul dalam kursus tersebut.
“JAIPk amat kesal dengan polemik yang timbul berikutan penyebaran klip video mengenai satu program lawatan di sebuah rumah ibadat bukan Islam di ibu negara.
“Lawatan itu bertukar menjadi polemik apabila sebuah akhbar menyiarkan klip video kenyataan salah seorang peserta wanita yang menimbulkan salah faham sehingga mengundang perdebatan hangat di media sosial.
“Jabatan ini terpanggil untuk menjelaskan bahawa wanita berkenaan bukan pegawai atau kakitangan JAIPk seperti didakwa.
“Sebaliknya merupakan salah seorang peserta yang mengikuti kursus berkenaan secara sukarela.
“Bagaimanapun, jabatan ini memohon maaf kepada semua pihak terutamanya umat Islam atas kontroversi yang timbul susulan penganjuran kursus serta kenyataan peserta berkenaan,” jelas kenyataan itu pada Jumaat.
Katanya lagi, sebagai antara jabatan yang diberi amanah mengurus hal ehwal dan kepentingan Islam, JAIPk tidak sesekali mengendurkan pegangan terhadap prinsip maqasid syariah yang selama ini mendasari perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.
“Jabatan ini mengambil maklum mengenai arahan dan beberapa ketetapan yang dibuat kerajaan negeri setelah mendapat titah nasihat oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya isu tersebut ditangani segera.
“Ia bagi mengelakkan dari terus menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
“Bagi mencegah kontroversi seumpamanya berulang, JAIPk akan mengkaji semula modul dan kaedah pelaksanaan kursus berkenaan.
“Selain menetapkan garis panduan khusus kepada peserta yang menyertai program dakwah yang dianjurkan jabatan ini pada masa hadapan,” katanya lagi.
Selain itu, katanya, JAIPk akan berbincang dengan para pemegang taruh serta pihak berkuasa agama Islam lain termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk memikirkan kaedah atau pendekatan kursus dakwah yang lebih sesuai.