Ipoh ‘tidak sombong’, terus menjengah dunia

Berita Perak

KETIKA diarah bertugas di Ipoh sebagai Ketua Biro Utusan (M) Berhad mulai 1995, saya cukup skeptikal selepas mendengar pelbagai cerita mengenai Ipoh.

‘Ipoh mali, tatak sombong’ adalah antara frasa yang cukup sinonim ketika itu. Walaupun ia dikatakan bagi mengambarkan keramahan warga Ipoh, tetapi ada juga yang mengaitkannya dengan aktiviti tidak bermoral.

Suasana Ipoh ketika itu aman damai, malamnya tiada lagi aktiviti selepas jam 8 sehingga ada yang menggelarnya bandar mati. Sangat jauh berbeza dengan Bandaraya Kuala Lumpur yang sesak dengan kenderaan bertali arus.

Ketika di Kuala Lumpur, lazimnya saya keluar rumah awal pagi dan pulang selepas Maghrib atau Isyak, bagi mengelakkan terperangkap dalam lautan kenderaan.

Berpindah ke Ipoh membuatkan saya mengalami kejutan budaya. Tidak perlu lagi mengejar masa dan masih boleh menghantar serta mengambil anak bersekolah.

Ia membuatkan kehidupan saya atau mungkin sesiapa sahaja, cukup selesa, tambah-tambah lagi dengan hanya RM500, sudah mampu menyewa sebuah rumah semi D.

Mungkin dek kerana selesa, saya mengambil keputusan untuk terus kekal di Ipoh walaupun ‘dipaksa’ bertukar ke Kuala Lumpur pada hujung tahun 1996.

Malah, saya mengambil langkah nekad berhenti kerja selepas dipaksa berpindah ke Kuala Lumpur.

Saya tekad untuk kekal di Ipoh walaupun Bandaraya Bunga Kertas ini bukan tempat tumpah darah saya dan keluarga. Saya memulakan kerjaya baharu untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga.

Saya mula jatuh cinta dengan Ipoh bandaraya yang dikatakan ditubuhkan sekitar tahun 1880-an.

Nama “Ipoh” diambil daripada pohon “epu” atau lebih dikenali sebagai “ipuh” dengan getahnya yang beracun dan digunakan oleh Orang Asli untuk panahan sumpitan mereka.

Ipoh mendapat status bandaraya pada 27 Mei 1988 dan terbahagi dua oleh Sungai Kinta kepada Bandar Baru Ipoh dan Bandar Lama Ipoh.

Kini, Ipoh telah berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan menyerap masuk pekan-pekan kecil yang berada di kawasan sekitar seperti Chemor, Jelapang, Falim, Menglembu, Tambun dan Tanjung Rambutan

Selepas frasa ‘Ipoh mali, tatak sombong’, timbul pula pihak yang memberikan ejaan I.P.O.H sebagai akronim kepada ‘Ini Pekan Orang Hipster’.

Ia ekoran kerancakkan pembangunan industri muzik dan kafe-kafe hipster yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Ipoh turut dilabelkan oleh para seniman dan penerbit sebagai salah satu lokasi sesuai untuk penggambaran melihatkan kepada kecantikan alam semula jadinya.

Berdasarkan semakan, banyak juga filem, termasuk filem antarabangsa yang diterbitkan dan dilakonkan di Ipoh, antaranya:-

•   1980 - Potret Maria, dibintangi Sarimah Ahmad, Rubiah Suparman dan Zulkifli Zain
•   1999 - Anna and the King, dibintangi Chow Yun-Fat dan Jodie Foster, diarahkan oleh Andy Tennant.
•   2002 - Embun, diarahkan oleh Erma Fatima.
•   2003 - Paloh, diarahkan oleh Adman Salleh.
•   2003 - Kadhal Kisu Kisu, diarahkan oleh P. Vasu.
•   2004 - Tun Tan Cheng Lock.
•   2005 - Sepet, dibintangi Sharifah Amani, diarahkan oleh Yasmin Ahmad.
•   2005 - Gubra, dibintangi Sharifah Amani, diarahkan oleh Yasmin Ahmad.
•   2006 - After This Our Exile, dibintangi oleh Aaron Kwok dan Charlie Young, diarahkan oleh Patrick Tam.
•   2006 - Goodbye Boys, diarahkan oleh Bernard Chauly.
•   2006 - Lust, Caution, dibintangi Tony Leung Chiu Wai dan Lee-Hom Wang, diarahkan oleh pemenang Oscar dari Taiwan Ang Lee.
•   2007 - Mualaf, dibintangi Sharifah Amani, diarahkan oleh Yasmin Ahmad
•   2008 - Talent Time diarahkan oleh Yasmin Ahmad. Lokasi penggambaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson
•   2010 - Love and Death in Java, diarahkan oleh Bill Donovan

Selain filem-filem itu, Allahyarham Mamat Khalid, satu nama yang tidak asing dalam industri filem negara turut banyak memperkenalkan Ipoh khasnya, Perak umumnya melalui filem-filem yang dihasilkan.

Dua filem – Rock dan Rock Oo yang melalui proses pengambaran di tengah-tengah Ipoh muncul antara filem ‘wajib tonton’ Allahyarham Mamat Khalid.

Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid meninggal dunia di Hospital Slim River, Perak, kira-kira jam 11.25 malam, 24 Oktober 2021 ketika berusia 58 tahun, akibat serangan jantung.

Lebih awal daripada itu, abang Allahyarham Mamat Khalid, kartunis tersohor, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai ‘Lat’ banyak menaikkan nama Ipoh melalui karya-karya beliau.

Atas sumbangan bakti, Datuk Lat dikurniakan sebagai Seniman Diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena perasmian Galeri Rumah Lat di Jalan Bemban, Batu Gajah, pada Julai 2023.

Selepas diiktiraf portal pengembaraan dunia, Lonely Planet sebagai antara 10 wilayah terkemuka dunia untuk dilawati tahun lalu, Bandaraya Ipoh sekali lagi mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Ipoh ditonjolkan pula dalam akhbar berpengaruh di seluruh dunia, The New York Times yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat dalam ruangan Kembara.

Artikel itu bermula dengan memperkenalkan latar belakang Ipoh yang dulunya negeri utama pengeluar bijih timah di Malaysia pada pertengahan 1900-an.

Kejatuhan harga timah dan penutupan lombong pada 1980-an menyebabkan Ipoh kehilangan sinarnya sebagai bandar sibuk, yang kini wujud sebagai tempat untuk bersara atau menikmati makan bagi pengembara.

Kini, Ipoh sedang menggilap kilauannya. Bandar ini mempunyai beberapa bangunan kedai dan warisan yang cantik di sekitar Old Town seperti stesen kereta api dibina semasa zaman pemerintahan British, yang turut diberi gelaran ‘Taj Mahal Ipoh’.

Ia turut mempromosikan beberapa kafe yang dibuka berdekatan dengan kedai runcit di bandar yang terletak di antara premis perniagaan dan hotel.

Antara kafe disenaraikan adalah Burps & Giggles, Boutique Patisserie, Plan B, Chokodok Reggae, Thumbs Cafe, Zakka Loft dan Artisan Homemade Bread di samping Sekeping Kong Heng, yang dibuka di Kong Heng Square di Bandar Lama.

Terbaharu, Ipoh menjadi satu-satunya bandar raya di Semenanjung Malaysia yang disenaraikan dalam Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori Muzik

Sebenarnya terlalu banyak hendak diperkatakan dengan Bandaraya Ipoh. Dengan slogan “Ipoh Bestari Sejahtera”, Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud Md Daud tidak menoleh kebelakang setelah dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh pada 1 April 2020.

Dengan visi Ipoh Bandar Wilayah Pintar Berteraskan Ekosistem Mampan Dan Bestari Sejahtera serta misi “Memperkasakan Pengurusan Bandar Secara Inklusif Ke Arah Bandar Raya Pintar, Rendah Karbon Dan Bestari Sejahtera Menjelang 2030″, pelbagai perancangan dirangka untuk terus mengharumkan nama Ipoh di persada dunia

Memanglah benar, Ipoh tidak sombong, sebaliknya mahu terus menjengah dunia.