LARUT: Industri nanas bukan sahaja menyumbang kepada keterjaminan makanan, tetapi turut menjana pendapatan lumayan kepada usahawan luar bandar.
Untuk rekod, sehingga Mac lalu seramai 493 pengusaha aktif yang mengusahakan tanaman tersebut dengan keluasan tanaman 1,544 ekar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Zolkafly Harun berkata, tanaman tersebut membabitkan varieti utama iaitu Moris dan MD2.
“Usaha memperkasa penyertaan belia dalam tanaman nanas juga berjaya di mana 17 peserta dari golongan berkenaan menerima Geran Agropreneur Muda berjumlah RM410,000 secara keseluruhan.
“Potensi industri nanas turut diperkukuh melalui elemen agropelancongan menerusi lokasi seperti Resort D’Rumah Bonda di Kuala Kangsar yang menggabungkan elemen pelancongan dan pertanian.
“Perak juga terkenal dengan lokasi perkhemahan yang mendapat sambutan pelancong dan sesuai dijadikan platform promosi produk tempatan berasaskan nanas,” katanya.
Beliau berkata demikian di Jelajah Hari Nanas Malaysia (HANA) Negeri Perak 2025 di SAS Homestay & Campsite Sungai Siputeh, Selama di sini pada Isnin.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh.
Pada majlis itu, Zolkafly turut menyampaikan replika cek Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2025; Program Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi Tahun 2025; Program Geran Agropreneur Muda; Program Infrastruktur MyGAP dan Geran Pemadanan Change Upgrade Product (CUP).
LPNM juga menganggarkan bahawa usahawan nanas mampu memperoleh pendapatan sehingga RM8,000 sebulan secara berperingkat dengan amalan pertanian moden dan strategi pemasaran yang berkesan.
“Kerajaan negeri komited untuk memperkukuh sokongan terhadap sektor ini termasuk usaha memperluas pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Termasuk mendorong inovasi dalam teknik penanaman dan pemprosesan, serta merakyatkan nanas sebagai lambang pertanian moden yang progresif,” katanya.